OKT yang berjaya ditahan semula.
OKT yang berjaya ditahan semula.
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Seorang Orang Kena Tahan (OKT) berusia 26 tahun yang melarikan diri ketika dibawa keluar dari lokap Mahkamah Ipoh, jam 4.45 petang semalam berjaya ditahan semula dua jam selepas itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, lelaki berkenaan berjaya ditahan semula selepas Ops Tutup dijalankan polis di sekitar daerah itu.

Katanya, OKT berkenaan berjaya dikesan polis ketika sedang bersembunyi di dalam sungai di Silibin sebelum anggota mengepung kawasan itu dan menahannya.

“Suspek yang berasal dari Buntong di sini itu dituduh di mahkamah semalam mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990 sebelum dibenarkan ikat jamin RM4,000 namun gagal membayar ikat jamin berkenaan.

“Ketika dibawa keluar dari lokap ke dalam lori bersama 22 OKT lain, suspek kemudiannya berjaya meloloskan tangannya yang digari dan merempuh tiga anggota bertugas dan memanjat pagar sebelum melompat ke bahagian semak berdekatan stesen keretapi,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJND) Ipoh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini.

Pada majlis itu, bekas Ketua BSJND Kuala Kangsar Deputi Superintendan Rasdi Ariffin dilantik sebagai Ketua BSJND Ipoh menggantikan Deputi Superintendan Rodney Pasla Haris Haris yang ditukarkan ke Bukit Aman.

Chang Keong berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan manakala tiga anggota polis yang mengawal OKT juga akan disiasat dan diambil tindakan tatatertib sekiranya berlaku kecuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 6:08 PM