Farah Marcella mencium Suraya sambil Suraya dan suaminya, Ahmad Daud melihat keputusan SPM Farah Marcella. FOTO Mary Victoria Dass
Farah Marcella mencium Suraya sambil Suraya dan suaminya, Ahmad Daud melihat keputusan SPM Farah Marcella. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Guru displin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri, Suraya Abdul Rahim, 38, sanggup memberi perlindungan dan menjaga pelajar yang berasal dari keluarga kurang bernasib baik di kediaman keluarganya di Taman Johor Jaya di sini.

Niat murninya itu membolehkan pelajar berkenaan, Farah Marcella Bandie, 18, mencapai keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan Khamis lalu.

Farah Marcella sebelum ini pernah dibuang sekolah ketika tingkatan empat akibat masalah kehadiran namun mendaftar kembali dan melanjutkan persekolahan pada tingkatan lima atas inisiatif sendiri.

Bagaimanapun, dia tidak hadir ke sekolah selama hampir dua bulan dan bekerja di warung menjual burger berhampiran tempat tinggal bagi meringankan beban ibu yang juga pekerja pusat snuker dan digantung tidak bertali sejak beberapa tahun lalu.

Ibu serta enam adik-beradiknya menumpang di pusat snuker berkenaan di Masai.

Menyedari kesulitan dialami pelajar berkenaan, Suraya tampil mempelawa Farah Marcella untuk tinggal bersamanya dua bulan sebelum menduduki SPM.

Farah Marcella yang ketinggalan dalam pelajaran tekad belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya mengecapi kecemerlangan dalam SPM demi membalas budi gurunya selain mengubah nasib keluarganya pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 11:16 PM