Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah. FOTO BERNAMA
Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah. FOTO BERNAMA
Asrol Awang


Kuantan: Rakyat Malaysia yang ditahan di Somalia baru-baru ini, disyaki terbabit dengan kumpulan Al-Shabab.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata, Wisma Putra sudah dimaklumkan mengenai penahanan dan proses perundangan Ahmad Mustakim Abdul Hamid.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Luar Negeri memantau rapat perkembangan lelaki berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat, penahanan itu dilakukan kerana Ahmad Mustakim didakwa masuk negara berkenaan kerana pembabitannya dalam kumpulan Al-Shabab.

"Setakat ini, pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan sudah berhubung dan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kesihatan serta kebajikannya sentiasa terpelihara.

"Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum akan terus memantau perkembangan kes ini dan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada Ahmad Mustakim.

"Kita akan memastikan hak-hak dan kebajikan Ahmad Mustakim sentiasa terpelihara dan dibicarakan secara adil berlandaskan perundangan sewajarnya," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kek bulan di Pusat Khidmat Indera Mahkota, di sini hari ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, setakat ini, negara berkenaan membenarkan lawatan konsular dan kerajaan Malaysia menghormati undang-undang negara terbabit.

"Kalau didakwa kita mesti menghormati undang-undang negara terbabit tetapi kita akan memastikan apabila didakwa di mahkamah, Ahmad Mustakim akan diberikan hak untuk mendapatkan keadilan dan diadili dengan adil dan sewajarnya.

"Kita juga sudah menghubungi keluarga Ahmad Mustakim bagi memaklumkan penahanan itu," katanya.

Sementara itu, mengenai pengumuman projek kapal selam baharu Australia yang menggunakan kuasa nuklear membabitkan kerjasama Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, Saifuddin berkata, Malaysia meminta maklumat lanjut mengenai aset terbabit.

Katanya, Menteri Luar Australia, Marise Payne menghubungi beliau untuk menerangkan mengenai projek kapal selam bagi mengelakkan salah faham.

"Jadi, saya katakan Malaysia mengamalkan Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN), selain berpegang kepada deklarasi Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1982 tentang Undang-undang Perjanjian Laut (UNCLOS).

"Saya juga menyatakan kebimbangan kita bahawa perkembangan terbaru ini berkemungkinan menyebabkan reaksi kuasa besar lain.

"Pada masa sama, Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia sedang berhubung dengan semua Menteri Luar ASEAN untuk mengeluarkan kenyataan bersama berhubung isu terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 4:59 PM