Seorang kanak-kanak perempuan  Rohingya mendukung adiknya di kem pelarian di Kutupalang, Cox's Bazar, Bangladesh. Gambar dirakam pada 27 Februari lalu. - Foto REUTERS
Seorang kanak-kanak perempuan Rohingya mendukung adiknya di kem pelarian di Kutupalang, Cox's Bazar, Bangladesh. Gambar dirakam pada 27 Februari lalu. - Foto REUTERS
Reuters

Sittwe, Myanmar/Cox's Bazar, Bangladesh: Kanak-kanak semuda 10 tahun antara ratusan etnik Rohingya yang ditahan kerajaan Myanmar atas dakwaan bersubahat dengan pemberontak.

Menurut dokumen yang dilihat Reuters, ada 13 tahanan juvana bersama lebih 400 orang yang ditahan sejak 9 Oktober lalu, selepas pemberontak menyerang tiga pos polis sempadan di Rakhine, dekat sempadan Bangladesh.

Dokumen bertarikh 7 Mac itu menyatakan, laporan polis mendakwa kanak-kanak terbabit mengaku bekerja dengan pemberontak dan mereka ditahan berasingan daripada tahanan dewasa.

Menurut dokumen itu, 423 orang ditahan mengikut Akta Pertubuhan Haram, semuanya lelaki, berusia antara 10 tahun hingga 75 tahun dengan seorang dipangkah dan ditanda ‘mati’.

Kapten Polis Maungdaw, Kapten Than Shwe, yang mengesahkan ketulenan dokumen itu berkata: “Kami, polis menahan sesiapa saja yang terbabit dengan serangan itu, termasuk kanak-kanak dan terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan.”

Menurut serang lagi kapten polis, Semua 13 tahanan juvana itu berusia bawah 18 tahun dan ditahan di luar penjara di bandar Buthidaung, tidak digari atau dirantai,

Beliau mendakwa kanak-kanak terbabit tidak dipukul ketika mengakui terbabit dengan kumpulan penyerang.

Undang-udang Myanmar menyatakan kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun hanya boleh dipertanggungjawabkan dengan jenayah jika cukup matang untuk memahami akibat daripada tindakan mereka.

Dua tahanan juvana itu berusia bawah 12 tahun dan dua lagi berusia 13 tahun.

Dalam kenyataan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, Myanmar menyatakan 526 ditahan untuk soal siasat dengan lapan mati ketika dalam tahanan.

Bagaimanapun, pelarian yang ditemuramah oleh pelbagai agensi kemanusiaan sebelum ini mendakwa ribuan penduduk ‘hilang’ sejak tentera mengganas di Rakhine.

Reuters juga menemuramah mereka yang dibebaskan dan kemudian melarikan diri ke Bangladesh, menyertai 75,000 lagi pelarian.

Antaranya, Di Dar, 22, yang menyatakan dia ditahan selama 10 hari di kem tentera selepas kampungnya dibakar pada pertengahan November

Lelaki itu mendakwa, kira-kira 300 lagi lelaki ditahan bersamanya dan mereka digari sepanjang masa, sering dibelasah ketika soal siasat.

Menurutnya, dia melihat dua tahanan lelaki dibunuh.

Dakwaan Di Dar sama seperti tiga lagi bekas tahanan yang ditemuramah.

“Tentera datang tiga hari sekali dan memukul kami selama sejam. Mereka bertanya, ‘Kamu lawan kami?’ ‘Kamu terbabit dalam pemberontakan?’

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 8:00 AM