Pelarian Rohingya mengambil barang bantuan, termasuk makanan dan ubat yang dihantar Malaysia di Kem Pelarian Kutupalang, Cox’s Bazar, Bangladesh, semalam.  - Foto REUTERS
Pelarian Rohingya mengambil barang bantuan, termasuk makanan dan ubat yang dihantar Malaysia di Kem Pelarian Kutupalang, Cox’s Bazar, Bangladesh, semalam. - Foto REUTERS
Reuters

Yangon: Myanmar mengumumkan operasi ketenteraan bagi membersihkan Negeri Rakhine sejak empat bulan lalu, - operasi yang dianggap antarabangsa sebagai pembersihan etnik Rohingya - sudah berakhir dan hanya polis ditempatkan di sana untuk menjaga keamanan.

Penasihat Keselamatan Kebangsaan yang baru dilantik, Thaung Tun, dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam, berkata: “Keadaan di Rakhine kini stabil. Operasi pembersihan oleh tentera sudah selesai dan perintah berkurung dilonggarkan. Hanya ada polis di sana.”

Kenyataan itu menyatakan, ketika bertemu sekumpulan wakil PBB dan diplomat, Thaung berkata: ““Tiada maaf untuk mereka yang menggunakan kekerasan untuk mencabul hak asasi manusia dan asas jenayah. Kami sudah tunjukkan bahawa kami bersedia bertindak jika ada bukti salah guna kuasa.”

Pegawai kanan Pejabat Presiden Myanmar dan Kementerian Penerangan mengesahkan operasi ketenteraan di Rakhine sudah selesai namun menyatakan tentera masih ditempatkan di sana untuk menjaga keamanan dan keselamatan.

Minggu lalu, laporan pasukan penyiasat PBB menganggarkan lebih 1,000 etnik Islam Rohingya terbunuh atau dibunuh dalam operasi itu manakala puluhan ribu lagi melarikan diri, terutama ke Bangladesh.

Namun, Myanmar menyangkal dakwaan itu dengan menyatakan tidak sampai 100 terbunuh dalam operasi membanteras pemberontakan itu.

Bagaimanapun, pelarian yang ditemuramah pasukan penyiasat PBB menyatakan tentera dan polis Myanmar melakukan kekejaman jenayah terhadap kemanusiaan dengan membunuh penduduk lelaki dan kanak-kanak, memperkosa, membakar kampung serta sumber makanan dan menangkap ramai penduduk lelaki berusia antara 17 hingga 40 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 1:38 PM