Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pemain skuasy nombor satu dunia Datuk Nicol David (gambar) kembali ke landasan sebenar apabila mempertahankan kejuaraan Kejohanan Cleveland Klasik selepas menumpaskan Raneem El Welily, awal pagi semalam.

Kemenangan itu mengubat kekecewaannya pada kejohanan pertama musim ini apabila tersingkir di suku akhir Kejohanan Juara-Juara JP Morgan bulan lalu.

Nicol mengalahkan pemain pilihan ketiga dari Mesir itu 11-5, 11-9, 11-4 pada perlawanan di Kelab Raket Cleveland Ohio.

“Raneem terpaksa melalui banyak perlawanan apabila muncul juara Kejohanan Juara-Juara JP Morgan. Semalam (kelmarin) dia mengharungi perlawanan lima set,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Jelasnya, strategi digunakan pada perlawanan itu adalah mendahului daripada awal dan cuba mempertahankannya hingga tamat saingan.

Apa yang dikatakan ikon skuasy negara itu memang ada benarnya apabila Raneem dilihat bergelut dengan masalah kecergasan sejak dari set pertama walaupun dikatakan mampu menggugat kepantasan Nicol.

Raneem cuba bangkit pada set kedua dengan membalas hantaran secepat mungkin, namun Nicol kembali menguasai permainan selepas ketinggalan 4-8.

Set ketiga menyaksikan kedua-dua pemain saling kejar-mengejar pungutan mata bagaimanapun Raneem seperti hilang punca sebelum tumpas 11-4.

Kemenangan itu kejuaraan ke-79 buat Nicol sepanjang kariernya sebagai pemain skuasy profesional.

Dia akan menyertai Terbuka Windy City di Chicago dari 24 Februari hingga 4 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:14 AM