Antara MyKad palsu yang dirampas dalam Ops Khas Jabatan Pendaftara Negara (JPN) di Sabah sebelum ini.
Antara MyKad palsu yang dirampas dalam Ops Khas Jabatan Pendaftara Negara (JPN) di Sabah sebelum ini.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan akan menubuhkan Pasukan Khas untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas kumpulan yang terbabit dengan sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu seperti yang berlaku di Sandakan dan Tawau, Sabah baru-baru ini.

Menurut kenyataan bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Pasukan Khas itu ditubuhkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) bagi meningkatkan penguatkuasaan terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri berkenaan.

“Siasatan lebih menyeluruh perlu digerakkan sehingga individu yang bertindak sebagai dalang sebenar dapat dikenal pasti dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

“Kerajaan memandang serius kes pengeluaran dan pengedaran kad pengenalan palsu yang masih dilakukan oleh sindiket tertentu,” katanya.

Menurutnya, walaupun kes seumpama ini membabitkan pemalsuan dokumen dan dokumen yang dikeluarkan tidak sah kerana tidak wujud dalam sistem dan rekod pendaftaran negara, tetapi tindakan lebih agresif dan tegas perlu dilakukan.

Ini kerana, katanya ia bukan sahaja membabitkan penipuan kepada penerimanya tetapi turut menjejaskan nama baik kerajaan.

“Sehubungan itu, JKPWAS-Induk melalui Jawatankuasa Kecil Penguatkuasaan akan menggiatkan lagi tindakan penguatkuasaan ke atas PATI di Sabah.

“Berdasarkan rekod Majlis Keselamatan Negara (MKN), Sabah sejumlah 553,692 PATI di negeri itu sudah diusir sejak 1990 hingga 3 Mac lalu, dan tahun ini sahaja seramai 1,120 PATi sudah diusir," katanya.

Katanya, selain itu, kerajaan akan turut memberi tumpuan terhadap masalah kemasukan PATI terutamanya di perairan negeri.

“Dalam pada itu, kerajaan juga memutuskan membuka semula aktiviti pemunggahan (transhipment) bermula 1 Februari lalu bagi membantu meningkatkan kembali kegiatan ekonomi di Sabah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 12:24 PM