Hanafis Abdul Haris


Kuala Lumpur: Imuniti dan kekebalan diplomatik seseorang duta akan hilang sekiranya individu yang diisytiharkan sebagai Persona Non Grata enggan beredar dalam tempoh ditetapkan.

Pakar Hal Ehwal Undang-Undang Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Mohd Yazid Zul Kepli berkata, seseorang diplomat itu mesti meninggalkan negara penerima sekiranya negara terbabit mengisytiharkan dia sebagai Persona Non Grata.

“Namun masa munasabah perlu diberikan untuk diplomat terbabit beredar,” katanya.

Menurutnya, di Malaysia, Ordinan Diplomatik dan Konsular 1957 dan Akta Keistimewaan Diplomatik (Vienna Convention 1966) boleh dijadikan rujukan.

“Secara ringkasnya, diplomat tidak boleh diapa-apakan dan tidak boleh didakwa oleh negara penerima atas apa kesalahan jenayah sekalipun.

“Namun ia tidaklah bermaksud bahawa diplomat bebas berbuat apa saja. Diplomat masih boleh dihukum tapi negara yang patut menghukum ialah negara penghantar dan bukan negara penerima,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya seseorang diplomat itu tidak disukai, negara penerima boleh mengisytiharkannya sebagai Persona Non Grata.

“Ini hak mutlak negara penerima. Negara penerima tidak perlu memberi apa-apa sebab pun.

“Secara mudahnya, ia bermakna seseorang itu tidak dialu-alukan atau ditolak,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Malaysia mengisytiharkan Duta Korea Utara ke Malaysia iaitu Kang Chol sebagai Persona Non Grata atau orang yang tidak dihargai.

Kang Chol diarah meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam selepas gagal menghadirkan diri ke Wisma Putra yang sepatutnya diadakan 6 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 5:38 PM