Hatinya terpaut kepada Vivian Sibold dan ia bukan sekadar cinta monyet Nico Rosberg yang dianggap cukup istimewa apabila memilih wanita yang dikenali sejak kecil itu sebagai suri hatinya.

Mereka saling mengenali sudah sekian lama dan langsung tidak menyangka hubungan terjalin itu akhirnya membawa ke fasa lebih serius dan semuanya bermula ketika percutian bersama keluarga di Ibiza pada 2003.

Seorang wanita yang cantik bukan hanya mempertaruhkan susuk tubuh seksi. Vivian juga seorang yang bijak, sesuai dengan status sebagai isteri pelumba terkemuka. Dia mengakui hubungan mereka tidak perlu mengambil masa lama untuk menukar status teman kepada pasangan kekasih.

Percutian di Ibiza membuka kepada hubungan lebih serius selepas mengenali antara satu sama lain sejak zaman kanak-kanak dan jalinan hubungan selama lima tahun bersama Rosberg, mereka akhirnya memilih tarikh keramat 11 Julai 2014 untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.

"Ibu bapa kami sahabat lama dan mereka berkawan lebih 30 tahun dan secara tidak langsung kami juga mengenali satu sama lain sejak kecil lagi," kata Vivian yang melanjutkan pelajaran dalam reka bentuk dalaman di Universiti Seni Reka Bentuk Eropah.

Kepakaran dalam reka bentuk dalaman digunakan sepenuhnya Vivian dan dia diberi kepercayaan untuk mengubah suai kelab milik ayahnya selain turut menghias kediaman Rosberg di Monaco.

Katanya, Nico cukup berbakat dalam bidang permotoran dan mempunyai bakat bergelar juara dan sewaktu beraksi dalam formula 3 dia mampu meraih pendapatan 8,000,000 euro setahun (RM43.5 juta).

"Memang tidak boleh dinafikan Nico memang suka memandu. Jika mempunyai masa terluang kami suka menghabiskan masa dengan memandu kenderaan dan pergi bercuti bersama selain mengisi masa dengan bersukan dan berehat.

"Nico adalah jenis matematik, saya kreatif. Jika saya menunjukkan kepadanya dan kerja rekaan saya, dia selalu sangat kagum," kata Vivian.

Turut meminati dunia peragaan, Vivian melanjutkan pelajaran dalam reka bentuk dalaman di Institut in Design di Hamburg sebelum berpindah ke Milan.

Vivian bagaimanapun tidak menafikan akan kebimbangannya sekiranya suaminya itu menyertai perlumbaan. Sekiranya perlu berjauhan dengan Rosberg, dia akan mengikuti perkembangan Rosberg kerana apa yang berlaku kepada Michael Schumacher ada kalanya menimbulkan kebimbangan.

"Pada setiap perlumbaan Nico sertai, saya akan menontonnya secara langsung di TV. Pastinya saya bimbang jika berlaku sesuatu buruk berlaku kepada Nico," katanya.

Mengakui dalam setiap hubungan tidak perlu timbul rasa cemburu dan ia dianggap sebagai pantang larang dalam hubungan, mereka mengakui kini cukup bahagia.

"Bagi menghilangkan rasa cemburu itu kami pasti akan bertemu dua atau tiga minggu sekali. Jika kita tidak percaya kepada hubungan itu mengapa ia perlu diteruskan.

"Pada musim luruh lalu saya ke New York selama tiga bulan. Selepas itu, Nico datang membawa saya ke London, bandar impian saya dan ia satu saat cukup romantik," katanya yang berjaya sebagai seorang pereka dalaman.

Bapa Rosberg, Keke memenangi gelaran dunia pada 1982 bersama Williams, dilahirkan di Wiesbaden, berpindah untuk bersama keluarganya di Monaco ketika masih kecil.

Sementara itu Mercedes AMG Petronas secara rasmi mengumumkan lanjutan kontrak baru untuk Rosberg dengan sumber memaklumkan bahawa ia kontrak dua tahun biarpun mengakui hubungannya dengan rakan pasukan Lewis Hamilton sudah kembali normal selepas saingan musim ini berakhir di Abu Dhabi.

Perbalahan mereka musim ini membabitkan dua perkara, insiden kontroversi ketika perlumbaan di Monaco dan Belgium.

Di Monaco, Rosberg mengambil keputusan mengenepikan arahan pasukan yang mahu Hamilton memintasnya manakala di Belgium, kedua-dua pelumba terbabit kemalangan sekali gus menyaksikan Hamilton gagal menamatkan perlumbaan.

Hamilton berang dengan apa yang berlaku dan menyifatkan Rosberg sengaja berbuat demikian. Rosberg pula membalasnya dengan berkata, taktik yang digunakan rakan sepasukannya untuk menang di Bahrain amat berbahaya.

Mercedes begitu menjaga isu kontrak itu dengan tidak mendedahkan butiran terperinci. Mengulas mengenai kontrak itu, pelumba muda itu berkata, sebagai seorang warganegara Jerman warisan Mercedes-Benz begitu istimewa kepada dirinya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:01 AM