ZAHASMI (kanan) beri arahan kepada pemain semasa sesi latihan.
ZAHASMI (kanan) beri arahan kepada pemain semasa sesi latihan.
Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Pengendali Kelantan Zahasmi Ismail akan mengekalkan formasi cara ‘kampung’ dalam pertemuan dengan T-Team pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam ini.

Jelasnya, formasi itu dilihat agak sesuai dipratikkan anak buahnya selepas kejayaan mereka membenam Perak 4-2, Rabu lalu.

Biarpun mungkin ada yang tidak bersetuju dengan formasi itu, bagi Zahasmi, corak bertahan sebelum menyerang kubu lawan dilihat mendatangkan hasil.

Besar kemungkinan, formasi sama akan digunakan Zahasmi pada pertemuan dengan T-Team dalam usaha menamatkan badi kekalahan di gelanggang sendiri, musim ini.

Zahasmi berkata, pasukan The Titans di bawah kendalian Rachmad Darmawan berada dalam kelas tersendiri dengan barisan pemain berkualiti dan disegani pasukan lain.

Katanya, pasukan itu turut mampu melakukan kejutan jika lawannya alpa dan untuk itu, pemain Kelantan harus berwaspada seandainya tidak mahu terjerat dengan taktik mereka.

“Pemain seperti Ahmad Takhiyuddin Roslan, Hasbullah Awang dan dua import mereka, Mahamdou Samassa serta Farhod Tadjiyev harus diawasi jika tidak mahu berputih mata kali keempat,” katanya.

Zahasmi berkata, beliau menaruh harapan tinggi dua penyerangnya, Mohd Nor Farhan dan Alessandro Celin dapat diturunkan dengan kecederaan mereka yang semakin pulih.

Katanya, kudrat kedua pemain itu amat ditagih untuk digandingkan dengan Mohammed Ghaddar bagi merobek kubu lawan.

“Mengenai penjaga gol, saya berada dalam dilema sama ada mahu menurunkan penjaga gol utama Khairul Fahmi (Che Mat) atau Mohamad Ramdhan (Abd Hamid) selepas kedua-duanya mempamerkan aksi memberangsangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 5:11 AM