DUNN
DUNN
Agensi

London: Seorang lelaki warga emas yang membina bilik rahsia untuk menyorokkan mangsa rogolnya berusia l4 tahun dipenjara 27 tahun selepas didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak selama beberapa dekad di kediamannya di Yorkshire.

Michael Dunn, 57, didapati bersalah merogol dan mencabul empat remaja sepanjang beberapa tahun dengan dua daripadanya disimpan sebagai hamba, malah kediamannya turut mengandungi bilik rahsia yang pada satu ketika digunakan untuk menyorokkan seorang mangsanya berusia 14 tahun setiap kali polis datang mencari gadis berkenaan.

Dunn menangis ketika dijatuhi hukuman untuk 10 tuduhan rogol, tiga dakwaan pengurungan secara salah dan tiga lagi membabitkan serangan seksual selepas perbicaraan yang bermula Januari lalu.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Tony Briggs berkata: “Rekod menunjukkan kamu seorang yang licik, manipulatif dan mahu berkuasa terhadap orang lain.”

Sebelum ini, seorang mangsa lain pernah membuat laporan polis terhadapnya pada 1993 tetapi polis tidak mengambil tindakan kerana menganggap laporannya sukar disahkan.

Polis dan kakitangan khidmat masyarakat kini disiasat berhubung kegagalan menghalang Dunn selama dua dekad.

Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu Dunn memecahkan tembok rumahnya untuk mewujudkan ruang cukup besar bagi menyorokkan mangsa terbabit, selain mengarahkan dua anjingnya menjaga tempat itu.

Mahkamah diberitahu, mangsa berkenaan melarikan diri dari rumah anak yatim pada 1993 dan mendapat perlindungan di kediamannya, malah polis pernah datang ke rumah itu sehingga sembilan kali untuk mencarinya kerana mengesyaki dia berada di situ tetapi tidak dapat dibuktikan.

Jenayahnya akhirnya terbongkar pada 2014 apabila mangsa terbabit akhirnya membuat laporan polis pada usia dewasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 7:26 AM