Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Filem aksi mengenai pasukan Unit Tindakan Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) dan Infinitus Production diharapkan mampu menarik penonton apabila mula ditayangkan esok.

Pengurus Besar GBSB, Tengku Iesta Tengku Alauddin berharap filem lakonan Zul Ariffin, Izara Aishah, Fazura, Farid Kamil dan Azad Jasmin ini berjaya mencatat kutipan pecah panggung dan dia yakin ia mampu menarik penonton ke panggung wayang.

“Filem ini ada nilainya tersendiri. Selain menampilkan ramai pelakon hebat dan berbakat, babak aksi yang menarik dan latar belakang UTK itu sendiri sudah cukup menguatkan filem ini.

“Ia juga menerapkan sikap kekeluargaan dan persahabatan di mana saya yakin ia pernah dilalui masyarakat kita," katanya.

Iesta berkata, dia juga sangat bersyukur kerana sepanjang kempen promosi filem ini, pihaknya mendapat banyak maklum balas positif daripada orang ramai.

"Saya gembira dengan sambutan yang diterima sepanjang kami melakukan promosi di beberapa tempat di luar ibu kota, malah tiket untuk tayangan awal pengenalan filem ini juga habis dijual. Saya yakin ia boleh menjadi filem terhebat tahun ini.

Filem arahan Zulkarnain Azhar ini diinspirasikan daripada filem perisik terkenal tempatan pada era 1960-an iaitu Gerak Kilat yang popular dengan watak Jefri Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 8:23 PM