Pembaca Harian Metro menukar keratan akhbar untuk mendapatkan tiket percuma menyaksikan filem Rock Bro di GSC Berjaya Times Square, semalam.
Pembaca Harian Metro menukar keratan akhbar untuk mendapatkan tiket percuma menyaksikan filem Rock Bro di GSC Berjaya Times Square, semalam.

Kuala Lumpur: Menampilkan elemen drama yang menyentuh perasaan membuatkan filem Rock Bro terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) dan Enjit Semut Sdn Bhd (ESSB) menarik perhatian penonton, sekali gus mendapat kutipan melebihi RM800,000 selepas dua hari ditayangkan.

Filem arahan Mamat Khalid dan menampilkan lakonan memberangsangkan Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Azmi Bahron dan Amy Juliet itu ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 27 Oktober lalu.

Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) Tengku Iesta Tengku Alauddin, sewaktu dihubungi di sini, semalam menjelaskan, selepas majlis prebiu ramai tetamu dan penonton merasakan filem ini bukan sekadar komedi kosong.

“Kata mereka filem Rock Bro bukan hanya lawak jenaka, tetapi turut menampilkan mesej kerohanian.

“Ada yang memberitahu tersentuh dengan perjalanan cerita dan perkembangan watak. Disebabkan itu juga kebanyakan penonton berpendapat ia sesuai ditonton seisi keluarga,” katanya.

Tengku Iesta turut mengakui jenama dan kejayaan diraih filem berkisar perjalanan hidup kumpulan rock 1980-an dan 1990-an ini bermula dengan Rock! pada 2005 dan diikuti Rock Oo! (2013), turut membantu Rock Bro meraih kutipan tinggi.

“Kutipan diperoleh Rock Bro petanda positif untuk mencatat kutipan lebih tinggi dan pecah panggung.

“Tidak dinafikan sebelum ini pihak GBSB dan ESSB gusar dengan sambutan penonton memandangkan tiada satu filem pun yang dapat kutipan pecah panggung selepas filem Boboiboy The Movie yang mencapai RM20 juta,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan komitmen pengarah dan pelakon yang turun ke pawagam bagi mempromosikan Rock Bro juga membantu kutipan tinggi.

Bersempena tayangan Rock Bro juga, Harian Metro menjayakan sesi tayangan khas filem itu bertemakan #wayangtime dengan hampir 200 pembaca bertuah dapat menontonnya secara percuma di Berjaya Times Square, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:13 AM