Band Rimba Bara (dari kiri), Slash Haji Tapah, Jijo, Zul Kapan dan Black. FOTO HM
Band Rimba Bara (dari kiri), Slash Haji Tapah, Jijo, Zul Kapan dan Black. FOTO HM
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Filem Rock Bro mencatat kutipan membanggakan apabila berjaya mencecah lebih RM2 juta selepas empat hari ditayangkan.

Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) Tengku Iesta Tengku Alauddin berkata, dia gembira terhadap sambutan yang diterima dan yakin elemen seperti kerohanian yang ditonjolkan menjadi antara faktor ia menarik perhatian penonton.

“Apa yang pasti, elemen komedi yang ada dalam filem arahan Mamat Khalid itu ialah antara faktor utama yang menarik penonton,” katanya.

Menurut Tengku Iesta, kempen promosi meluas dilakukan serta komitmen yang bagus daripada penonton memberi peluang untuk filem ini meraih kutipan yang tinggi seperti ini.

"Harapan saya filem ini akan mencapai kutipan lebih daripada filem Rock Oo yang sebelum ini mendapat kutipan RM4 juta. Saya juga berharap penonton yang keluar dari panggung selepas menyaksikan filem ini akan berkongsi dengan kawan-kawan mereka," katanya.

Selain komedi, Rock Bro yang diterbitkan Grand Brilliance Sdn Bhd dan Enjit Semut Sdn Bhd turut menampilkan elemen drama yang menyentuh perasaan.

Filem yang menampilkan lakonan Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Azmi Bahron dan Amy Juliet itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 27 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 6:34 PM