Anggota bomba dan penyelamat melakukan pencarian mangsa lemas, Syed Nasiruddin. FOTO Baharom Bakar
Anggota bomba dan penyelamat melakukan pencarian mangsa lemas, Syed Nasiruddin. FOTO Baharom Bakar
Zaid Salim


Kuala Berang: Mayat lelaki yang lemas ketika memancing di Sungai Kampung Buluh berhampiran Jambatan Kampung Buloh, di sini, awal pagi semalam, ditemui jam 5 petang tadi.

Mayat Syed Nasiruddin Syed Muhamad, 26, dari Kampung Buloh Teluk Hilir, di sini, ditemui terapung pada jarak 100 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang Mohd Zamri Omar berkata, mayat ditemui pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar kawasan berkenaan.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam kejadian jam 2 pagi semalam, mangsa yang keluar memancing bersama rakan dikatakan terjatuh ketika menyeberangi sungai dan dihanyutkan arus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 7:12 PM