CHRISTIAN Bale memegang watak utama.
CHRISTIAN Bale memegang watak utama.
JOEL Edgerton sebagai Firaun Ramses.
JOEL Edgerton sebagai Firaun Ramses.
Susunan Michelle Gun

Selepas filem Noah, karya terbaru pengarah Ridley Scott, Exodus pula diharamkan tayangan di tiga negara Islam.

Filem itu diharamkan di Mesir, Maghribi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana terdapat kesalahan fakta sejarah dan agama Islam.

Ia menampilkan bintang popular, Christian Bale sebagai 'Nabi Musa' serta pelakon lain, Joel Edgerton dan Ben Kingsley.

Dalam filem ini, 'Nabi Musa' digambarkan menentang Firaun dengan membawa keluar seramai 600,000 hamba keluar dari Mesir.

Memetik satu kenyataan akhbar, Menteri Kebudayaan Mesir, Gaber Asfour berkata, filem Exodus penuh dengan kesilapan fakta selain mendakwa Nabi Musa dan orang Yahudi membina piramid.

"Filem ini juga bertentangan dengan fakta sejarah. Malah, ia juga menggambarkan sejarah dari sudut Zionis.

"Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk mengharamkan filem ini daripada ditayangkan di Mesir," katanya.

Menurut Gaber, tindakan itu dipersetujui jawatankuasa yang terdiri daripada Ketua Majlis Tertinggi Kebudayaan, Mohammed Afifi, Ketua Jawatankuasa Penapisan serta dua pakar sejarah.

"Saya memandang berat babak Laut Merah dibelah yang memaparkan 'Nabi Musa' memegang pedang seperti pahlawan dan bukannya tongkat.

"Malah, filem itu turut mengatakan Laut Merah terbelah disebabkan fenomena ombak dan bukannya kerana keajaiban Ilahi," jelasnya.

Pengarah Kandungan Majlis Media Kebangsaan UAE, Juma Ibaud ak-Leem berkata, Islam menerima Nabi Musa sebagai rasul dan sebarang gambaran mengenai Allah dan rasul-Nya tidak dibenarkan.

"Filem itu memaparkan 'Nabi Musa' sebagai pendakwah keamanan dan kami tidak membenarkan penyelewangan dalam agama," katanya.

Di Maghribi pula, filem Exodus tetap diharamkan walaupun tayangannya diluluskan Pusat Pawagam negara berkenaan.

Baru memulakan tayangannya di Amerika Syarikat awal bulan lalu, Exodus mencetuskan pelbagai kontroversi. Berikutan itu, Scott mendapat kritikan hebat kerana menggunakan pelakon bukan bangsa Mesir.

Bukan saja golongan Islam, filem itu turut menerima komen negatif daripada penganut Kristian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 5:02 AM