Anggota bomba melakukan persiapan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dikhuatiri lemas di pantai Lido dekat Jalan Sultan Ismail 7 malam tadi. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba melakukan persiapan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dikhuatiri lemas di pantai Lido dekat Jalan Sultan Ismail 7 malam tadi. FOTO ihsan bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Seorang lelaki dikhuatiri lemas di pantai Lido dekat Jalan Sultan Ismail di sini, kira-kira 7 malam tadi.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Ronnie Robert berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada 7.12 malam ke lokasi dengan kekuatan 11 anggota sebelum tiba 13 minit kemudian.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal diterima daripada saksi di lokasi kejadian, mangsa dipercayai seorang pesakit dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

"Menurut saksi di lokasi kejadian, mangsa dipercayai pesakit HSA kerana dilihat berpakaian warna hijau dipercayai baju pesakit hospital itu," katanya ketika dihubungi.

Ronnie berkata, tujuh anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Unit Skuba Bomba Johor Bahru kemudian dipanggil untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, operasi SAR turut membabitkan agensi lain iaitu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Operasi di laut sedang dijalankan dan kita akan meneruskan operasi mencari sehingga mandapat maklumat daripada anggota Unit Skuba," katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh turut mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan operasi SAR sedang dijalankan.

Sementara itu, Pengarah HSA, Dr Aman Rabu berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan kehilangan pesakit dari wad hospital itu dan siasatan sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 11:10 PM