Oleh Siraj Mohd Zaini


Temerloh : Kementerian Kerja Raya menganggarkan kos sebanyak RM338 juta diperlukan bagi kerja-kerja pembaikan jalan, pembetung, longkang dan bahu jalan di negeri-negeri yang terjejas akibat banjir.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebanyak RM55.6 juta dibahagikan bagi Zon Utara Semenanjung (Perak, Kedah dan Perlis), RM204.3 juta di Zon Timur (Kelantan, Pahang dan Terengganu) dan RM78 juta di Zon Selatan (Johor, Melaka dan Negeri Sembilan).

Menurutnya, keutamaan kini adalah laluan darat yang terputus bagi memudahkan kerja-kerja penghantaran bantuan banjir kepada negeri-negeri terbabit.

Katanya, laluan darat di antara Gerik ke Jeli akan dibuka pada 5 Januari ini setelah kerja-kerja pembaikan cerun di laluan itu selesai dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak dan Kelantan.

"Sebanyak 18 jalan dikenal pasti sebagai kritikal dan kita akan melakukan kerja-kerja waktu ini bagi sekurang-kurangnya melakukan lencongan dan membuka satu lorong bagi kenderaan menghantar bantuan kepada mangsa banjir.

"Di Pahang terdapat satu jalan negeri dan di Kelantan juga ada satu jambatan yang terputus, kita akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melihat jalan dan jambatan ini untuk diadakan juga laluan alternatif bagi perhubungan masyarakat," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Temerloh,di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:40 PM