Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kementerian Pengangkutan memantau rapat pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu infrastruktur nasional yang dapat menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dan Lembah Klang.

Menterinya, Anthony Loke, berkata keberkesanan sistem perkhidmatan ECRL dalam memudahkan pergerakan penumpang dan kargo merentasi empat negeri dengan lancar bertetapan dengan konsep 'seamless mobility'.

Katanya, pembinaan projek ECRL sepanjang 665 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor adalah mencabar dari segi topografi yang membabitkan Banjaran Titiwangsa berbukit-bukau dan hutan yang tebal serta kawasan risiko banjir dan hujan lebat di Pantai Timur.

"Namun, projek ECRL menerima pakai teknologi terowong dan struktur jejambat yang tinggi dalam pembinaan jajaran rel landasan elektrik ini, dengan reka bentuk jajaran yang bersandarkan kala purata ulangan 100 tahun bagi memastikan kelestarian operasi kereta api kelak.

"Justeru, kita berpuas hati dengan kemajuan pembinaan Projek ECRL yang secara keseluruhan sudah hampir separuh siap dan membabitkan lebih 1,200 tapak pembinaan di sepanjang jajaran 665 kilometer.

"Lawatan kerja saya ke tapak pembinaan Terowong Genting ECRL April lalu mendapati kerja-kerja pengorekan dengan kaedah mesin pengorek terowong (TBM) yang canggih berjalan dengan lancar sekali dan menepati jadual," katanya.

Laluan Rel Pantai Timur ECRL. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Laluan Rel Pantai Timur ECRL. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata, terowong Genting ECRL membabitkan terowong berkembar sepanjang 16.39 kilometer, bakal menjadi terowong rel yang terpanjang di Asia Tenggara apabila siap kelak.

Katanya, pihak pengurusan Projek ECRL juga memaklumkan bahawa kerja-kerja pengorekan bagi 20 daripada 40 terowong sudah berjaya ditembusi setakat ini, manakala kerja pemasangan rasuk jejambat sedang giat dijalankan di banyak lokasi.

"Dengan bermulanya kerja-kerja pembinaan stesen-stesen ECRL terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur, kita optimis jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada Disember 2026.

"Syabas saya ucapkan kepada Malaysia Rail Link (MRL) selaku pemilik Projek ECRL dan China Communications Construction Company (CCCC) selaku kontraktor utama, atas komitmen berterusan dan kerjasama rapat dalam membangunkan projek mega ini.

"Oleh demikian, masyarakat di negeri Pantai Timur khususnya dapat menikmati lembaran baharu sistem pengangkutan negara menerusi ECRL yang bakal disempurnakan dalam masa kira-kira lebih tiga tahun lagi," katanya.

Pada masa sama, Loke berkata, sehingga kini pihaknya belum menetapkan harga tambang memandangkan projek masih berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 5:56 PM