Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar Bandar dan Wilayah bersama anak lelakinya ditahan semula kira-kira jam 10.30 pagi tadi dan dijangka dituduh masing-masing di mahkamah Jalan Duta dan mahkamah Shah Alam, esok.

Sumber berkata, kedua-dua suspek berkenaan pernah ditahan dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu berhubung salah guna kuasa dan rasuah.

Menurutnya, KSU berusia 59 tahun bergelar Datuk dan anak lelakinya berusia 35 tahun itu akan dituduh atas kesalahan bersubahat dengan anaknya dan meminta rasuah.

"Kedua-dua mereka ditangkap kira-kira jam 10.30 pagi di pejabat SPRM Kedah.

"Difahamkan Datuk berkenaan akan dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM manakala, anaknya pula akan dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM," katanya.

Sebelum ini, kedua-duanya mereka pernah ditangkap dan disiasat SPRM kerana disyaki menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukan KSU tersebut bagi tujuan menerima rasuah sejak tahun 2010.

Mengikut siasatan yang dijalankan, pegawai kanan terbabit dipercayai menganugerahkan kontrak-kontrak kepada mereka yang berkepentingan sejak dilantik sebagai pegawai kerajaan negeri bermula tahun 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 6:28 PM