ANAK pasangan arwah Norhayati Sulong dan Suhaimi Awang mendapat kelengkapan sekolah yang baru. FOTO Ghazali Kori
ANAK pasangan arwah Norhayati Sulong dan Suhaimi Awang mendapat kelengkapan sekolah yang baru. FOTO Ghazali Kori
Oleh Rizanizam Abdul Hamid dan Shamsuddin Husin


Chukai: Kerajaan negeri menawarkan biasiswa pendidikan kepada enam anak pasangan suami isteri yang lemas dalam kejadian bot terbalik di Kemaman baru-baru ini sehingga semua mereka mendapat pekerjaan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, mulai bulan ini mereka akan menerima biasiswa bulanan setiap seorang melalui Yayasan Terengganu bernilai RM70 untuk yang bersekolah menengah dan RM50 di sekolah rendah.

"Pengumuman ini dibuat kerana saya begitu tersentuh dengan pengorbanan ibu mereka yang juga seorang guru sehingga ke akhir hayatnya," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bantuan banjir kepada kerajaan negeri di sini, hari ini.

Selain itu menurut Razif, kerajaan negeri juga menawarkan semua enam beradik itu untuk tinggal di asrama Yayasan Terengganu secara percuma.

Enam beradik itu ialah Nor Syafiqah Syahira, 12; Nor Izah Insyirah, 11; Muhammad Ifran Irshad, 9; Nur Intisar Iedihar, 6; Muhammad Aqil Amsyar, 4; dan Nor Adifa Arissa, empat bulan.

Dalam kejadian 24 Disember lalu, Nur Hayati Sulong, 37, dan suaminya Suhaimi Awang, 37, dihanyutkan arus deras selepas bot dinaiki mereka terbalik di Kampung Geliga Che Akob di sini.

Mayat Nur Hayati ditemui pada 26 Disember manakala mayat suaminya keesokannya oleh pasukan penyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 3:59 PM