Najib mencium dahi adik Nor Adifa Arissa ,4, anak kepada suami isteri yang lemas ketika bot penyelamat terbalik di Kemaman baru-baru ini. FOTO Rozainah Zakaria
Najib mencium dahi adik Nor Adifa Arissa ,4, anak kepada suami isteri yang lemas ketika bot penyelamat terbalik di Kemaman baru-baru ini. FOTO Rozainah Zakaria

Kemaman: Keluarga pasangan suami isteri yang mati lemas dalam kejadian bot terbalik di Kemaman, terharu menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bertanyakan khabar mereka dan enam anak pasangan itu.

Mereka berterima kasih dengan keprihatinan pemimpin nombor satu negara terhadap nasib enam anak pasangan Nur Hayati Sulong dan Suhaimi Awang, yang kini yatim piatu.

Enam beradik itu ialah Nor Syafiqah Syahira, 12; Nor Izah Insyirah, 11; Muhammad Ifran Irshad, 9; Nur Intisar Iedihar, 6; Muhammad Aqil Amsyar, 4 dan Nor Adifa Arissa berusia empat bulan.

Abang Nur Hayati, Azman, 44, berkata, beliau akan mengambil alih tugas menjaga dan membesarkan enam anak saudaranya itu termasuk dari segi pendidikan dan kebajikan mereka.

"Saya reda dengan kehendak Ilahi, tiada siapa yang menduga perkara ini berlaku dan kami akan berusaha memberikan yang terbaik bagi membesarkan enam beradik ini.

"Sekarang ini kesemua mereka seakan memahami dan menerima kejadian yang menimpa ibu bapa mereka," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Najib di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 24 Dis lalu, Nur Hayati, 37, dan suaminya Suhaimi, 37, dihanyutkan arus deras selepas bot dinaiki mereka terbalik di Kampung Geliga Che Akob di sini.

Mayat Nur Hayati ditemui pada 26 Dis manakala mayat suaminya keesokannya oleh pasukan penyelamat. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 8:20 PM