Naib Pengerusi MCPF Datuk Kamarudin Md Ali. FOTO arkib NSTP
Naib Pengerusi MCPF Datuk Kamarudin Md Ali. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mahu pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang mengabaikan dan membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan.

Naib Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md Ali berkata, peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 membolehkan ibu bapa didakwa di mahkamah atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak.

Menurutnya, akta berkenaan perlu dikuatkuasa dan diperketatkan sebagai peringatan kepada masyarakat bahawa isu perlindungan kanak-kanak tidak boleh dikompromi.

"Tindakan membiarkan anak bawah umur keluar rumah pada tengah malam dan awal pagi tidak boleh diterima. Sepatutnya anak bawah umur ini tidak boleh keluar tanpa pengawasan.

"Peruntukan sudah ada, tetapi ia perlu dikuatkuasakan yang membolehkan ibu bapa diberi amaran dan didakwa di mahkamah," katanya pada sidang media selepas program perbincangan meja bulat bandar selamat kelestarian sejagat MCPF di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian kemalangan mengorbankan lapan kanak-kanak di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Kampung Mahmoodiah, Johor Bahru, 3 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 4:39 PM