KEPULANGAN disambut Pengurus Besar dan Pengarah KMSB, Datuk Jeffrey Lim.
KEPULANGAN disambut Pengurus Besar dan Pengarah KMSB, Datuk Jeffrey Lim.
Lizam Ridzuan


Mengharungi selekoh tajam dengan pelbagai permukaan jalan antara cabaran yang perlu ditempuh selama 14 hari oleh lapan penung­gang wanita daripada Kawasaki Lady Biker Group Malaysia (KLG).

Melaksanakan aktiviti tunggangan sejauh 5,800km dalam Cabaran Menunggang 1,000 Selekoh dan Segi Tiga Emas 2017, perjalanan mereka bermula pada 28 Januari dan berakhir pada 10 Februari 2017 di Wisma Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) Shah Alam.

Berusia antara 27 hingga 40 tahun dengan pelbagai latar belakang pekerjaan, antara tempat yang dilalui ialah Hatyai, Kanchanaburi, Chiang Mai, Ayutthaiya, Danok dan seterusnya kembali ke Malaysia.

Peserta, Vickneswary Sinathamby berkata, setiap hari menjadi pengalaman baru untuk mereka dengan laluan mencabar termasuk cuaca yang berubah secara drastik.

“Suhu pagi sekitar 11 darjah Celsius tetapi tengah hari boleh menjangkau 42 darjah Celsius dengan laluan curam dan selekoh tajam ternyata memberikan pengalaman tidak ternilai,” katanya yang menunggang model GTR 1400.

Diiringi dua marshal lelaki, antara motosikal yang ditunggangi mereka ialah model Versys, Er-6 dan GTR 1400 membabitkan perjalanan lebih 12 jam dengan minimum jarak 600km setiap hari.

Peserta, Safura Zahirah Yusoff berkata, pada awalnya laluan seakan biasa namun berubah apabila memasuki Mae Sot ke Mae Sariang hing­ga Mae Hong Son dan melepasi 1,000 selekoh antara saat paling mencabar buatnya.

“Laluan dengan selekoh yang tak terduga sejauh 400km antara cabaran utama, namun ‘1,000 Corners’ menyediakan pemandangan indah sepanjang laluan dan tidak hairanlah ramai yang akan me­ngulangi laluan ini,” katanya yang menunggang Versys 650.

Penunggang lain ialah Sariza Salim, Zaharatul Sa’adiah Ahmed Zaki, Suzana Ab Samad, Zaifilla Farrina Zainuddin, Nor Eli Nadiah Abdullah dan Tuan Auzan Tuan Kamaluddin.

KLG bakal menga­dakan ride keluar negara lagi pada masa hadapan dan antara destinasi pilihan adalah ke Kemboja, Laos atau Borneo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 5:03 AM