SEBAHAGIAN atlet daripada 12 kontinjen yang menyertai Kejohanan Olahraga Tertutup Sulaman, baru-baru ini.
SEBAHAGIAN atlet daripada 12 kontinjen yang menyertai Kejohanan Olahraga Tertutup Sulaman, baru-baru ini.
Recqueal Raimi


Tuaran: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenghilan membuktikan keunggulan apabila muncul juara Kejohanan Olahraga Tertutup Sulaman di Padang Institut Perguruan Guru Kampus Kent di sini, baru-baru ini.

Kejohanan itu dianjurkan Persatuan Olahraga Daerah Tamparuli (PODT) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran.

Kontinjen SMK Tenghilan meraih lapan pingat emas, sembilan perak dan sembilan gangsa.

Kejohanan disertai 12 kontinjen sekolah dengan 231 peserta. Antaranya PODT, Marabai Team, SMK Badin, SMK Tamparuli, SMK Telipok, SMK Tun Fuad, Kiulu dan SMK St John, Tuaran.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Hajiji Noor ketika berucap pada perasmian penutup kejohanan berkata, beliau mahu melihat daerah Tuaran melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

“Saya mahu ada atlet yang berasal dari Tuaran mencipta nama di peringkat daerah, negeri, negara dan seterusnya ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sudah memperuntukkan 40.50 hektar tanah untuk membina kompleks sukan bagi daerah Tuaran dan ia akan dibina dalam masa terdekat.

“Namun, sementara menunggu pembinaan kompleks sukan itu, saya akan merujuk kepada Kementerian Belia dan Sukan supaya memberi peruntukan untuk menambah balapan sintetik bagi atlet kita di Tuaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 7:08 AM