FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang anggota tentera meninggal dunia malam tadi akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tanah Merah (HTM).

Koperal Sagar Ali Abdullah, 39, yang bertugas di 2 Rejimen Semboyan Diraja (RSD) Kem Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang meninggal dunia jam 9.10 malam selepas empat hari menerima rawatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, anggota tentera itu meninggal dunia akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus dan paru-paru berdarah.

"Jangkitan berkenaan tiada kaitan dengan kes kencing tikus yang berlaku di Panglima Bayu, Tanah Merah kerana mangsa sebelum ini bertugas di Hutan Gerik, Perak dan Banjaran Titiwangsa bermula 1 Januari hingga 1 Februari lalu dan pulang ke Kem Tentera di Bayan Lepas,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mula menunjukkan gejala demam, cirit-birit dan sesak nafas pada 8 Februari lalu iaitu sebelum bertolak ke Kelantan.

"Anggota berkenaan kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tanah Merah dan dirujuk ke HTM Ahad lalu sebelum meninggal dunia," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 6:35 PM