Penulis di sisi runtuhan bangunan akibat dibom di Shibam tempat di mana kawasan tumpuan Al-Qaeda dan dipercayai kumpulan militan berkenaan sudah dihapuskan.
Penulis di sisi runtuhan bangunan akibat dibom di Shibam tempat di mana kawasan tumpuan Al-Qaeda dan dipercayai kumpulan militan berkenaan sudah dihapuskan.
Muhammad Saufi Hassan


Tarim (Yaman): “Kenapa tulisan pasport (tulisan rumi) dengan surat yang dikeluarkan (tulisan Arab) berbeza. Kamu tidak boleh masuk, patah balik atau kami tahan kamu.”

Itu pengalaman mendebarkan penulis bersama rakan media TV9 iaitu wartawan Farith Zahir serta jurukameranya Muhammad Abdul Razak Abd Rahman bersama sukarelawan Muslim Care Society Malaysia (Muslim Care) Ustaz Imran Selamat ketika cuba untuk memasuki bandar Ma'rib iaitu lokasi paling hampir dengan Sana'a yang ditakluk oleh tentera pemberontak Houthi.

Perjalanan penulis bermula kira-kira 12 tengah malam menaiki van yang disewa khas dan perjalanan sebelah malam itu dipilih dengan harapan kurang pemeriksaan tentera di setiap pusat kawalan di sepanjang laluan memasuki bandar itu.

Jarak perjalanan antara bandar Tarim dan Ma'rib sejauh 500 kilometer itu mengambil masa enam jam jika tiada konflik, namun sejak tercetusnya pemberontakan dua tahun lalu, perjalanan menuju ke bandar itu mengambil masa dua kali ganda.

Penulis hanya membawa pasport dan surat perakuan kemasukan ke bandar itu yang dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan berpengaruh serta mempunyai kaitan rapat dengan pasukan tentera Al-Muqawwamah (tentera kebangkitan rakyat yang menyokong kerajaan) yang berkawal di bandar berkenaan.

Berdasarkan maklumat, kawasan Ma’rib sudah dikuasai sepenuhnya tentera Al-Muqawwamah dan setiap hari berlaku antara satu hingga 20 kematian bagi pihak tentera pro-kerajaan manakala di pihak pemberontak Houthi antara 20 hingga 30 kematian.

Debaran saya bermula tatkala melepasi bandar Seiyun yang terletak 40 kilometer dari Tarim memandangkan pemandu kami menyatakan bahawa sebanyak 50 sekatan jalan raya perlu dilepasi dengan pelbagai soalan dan pertanyaan termasuk pemeriksaan terperinci.

Ketika itu, saya berdebar bercampur gelisah sambil memikirkan apa akan berlaku tempoh seterusnya terutama ketika menghampiri bandar Ma'rib yang dikatakan dikawal ketat untuk mengekang kemasukan tentera pemberontak Houthi.

Doa dan tawakal tidak putus sepanjang perjalanan itu sambil Ustaz Imran mengingatkan kepada beberapa perkara termasuk takdir serta ketentuan Allah.

Kira-kira 6 pagi, saya dan Ustaz Imran sudah melepasi lebih lima sekatan jalan raya dan setakat ini, tiada banyak persoalan, anggota tentera yang berkawal hanya memeriksa pengenalan identiti pemandu saja.

Bagaimanapun, debaran memuncak di sekatan jalan raya yang ketujuh di kawasan Safer daerah Al Abr iaitu 260 kilometer lagi perjalanan menuju Ma’rib.

Anggota tentera melakukan kawalan lebih ketat dengan dilengkapi kenderaan bersenjatakan mesingun .50 kaliber termasuk penembak tepat yang berada di kawasan tinggi kira-kira 10 meter dari lokasi sekatan.

Seorang pegawai tentera mengarahkan van kami berhenti di bahu jalan dan menyuruh kami keluar untuk pemeriksaan lanjut.

Ketika itu, saya sempat merakam video pemeriksaan itu secara tersembunyi dan seorang daripada tentera bertanyakan dalam Bahasa Arab mengapa tulisan pasport dan surat perakuan kemasukan berbeza.

“Tulisan surat ini Bahasa Arab. Kenapa pasport tulisan rumi... Saya tidak boleh baca tulisan rumi ini,” demikian kata tentera itu.

Ustaz Imran cuba menerangkan keadaan sebenar dan menunjukkan gambar di pasport berkenaan sama dengan muka saya namun tentera itu berkeras dan mahu kami menunjukkan dokumen identiti yang menggunakan Bahasa Arab.

“Identiti kamu tidak sama (dalam aspek bahasa dan tulisan)...Kamu tidak boleh masuk ke Ma'rib. Oleh kerana surat perakuan ini dikeluarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpengaruh, saya hanya minta kamu patah balik.

“Jika bukan kerana NGO ini, saya boleh tahan kamu,” katanya.

Ustaz Imran cuba memujuk tentera itu dan selepas perbincangan hampir 15 minit, hanya seorang saja dibenarkan masuk iaitu Ustaz Imran kerana kemampuan berbahasa Arab, manakala kami perlu berpatah balik ke Tarim.

Ustaz Imran dibawa masuk ke bandar Ma'rib menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik tentera itu manakala kami pulang dengan van yang disewa khas.

Sebelum kami dibenarkan pulang untuk berpatah semula ke Tarim, anggota tentera berkenaan memeriksa telefon bimbit kami dan mengarahkan kami untuk memadam video yang sempat dirakam.

Saya hanya sempat memindahkan beberapa gambar dan video ke fail lain manakala selebihnya terpaksa dipadam atas arahan tentera itu.

Ketika diarahkan pulang, perjalanan hanya tinggal kira-kira tiga jam saja untuk sampai ke Ma'rib namun terpaksa akur dengan arahan tentera bagi mengelakkan sebarang masalah lain.

Ia memang sesuatu yang menghampakan apabila saya dan rakan media TV9 terpaksa pulang dengan ‘tangan kosong’ selepas mengharungi hampir sembilan jam perjalanan yang penuh debaran.

Namun, penulis yakin apa yang berlaku pasti mempunyai hikmahnya. Mungkin juga penulis akan berkunjung lagi ke bumi Yaman dan meneruskan misi memasuki zon konflik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 11:30 PM