Bangkok: Thailand dan Kemboja menambah tentera masing-masing di daerah Nam Yuen, wilayah Ubon Ratchathani, kawasan sempadan yang menjadi rebutan kedua-dua negara.

Thai mengarahkan laluan sempadan sementara Chong Arn Ma ditutup selepas pihak berkuasa Kemboja membawa peralatan dan mesin berat untuk membersihkan kawasan itu bagi memulakan projek pembangunan, dipercayai membabitkan pembinaan hotel serta kasino, selain menaik taraf pasar serta jalan di situ.

Gabenor Ubon Ratchathani Serm Chainarong berkata, dia menghantar surat protes kepada Gabenor Preah Vihear Oam Mara, memaklumkannya bahawa pihak berkuasa Kemboja melanggar perjanjian sempadan.

Katanya, penduduk Kemboja bersedia berpindah ke lokasi itu sebaik pembangunan diselesaikan, sedangkan kawasan berkenaan adalah kawasan bebas antara sempadan.

Serm berkata, garisan sempadan di situ tidak jelas dan perubahan landskap oleh pihak berkuasa Kemboja akan menyukarkan usaha persempadanan.

Sehubungan itu, katanya, tindakan pihak berkuasa Kemboja itu menceroboh wilayah Thai seterusnya mengancam hubungan antara dua negara jiran itu.

Dia turut menggesa Kemboja menghentikan kerja berkenaan serta merta, manakala isu itu juga akan diketengahkan dalam mesyuarat antara pegawai kedua-dua negara.

Katanya, Kemboja juga perlu mengembalikan kawasan itu seperti sedia kala.

Sementara itu, sumber berkata, pegawai ketenteraan Kemboja kelmarin berjanji kepada rakan sejawatan Thai mereka untuk menghentikan kerja pembinaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:06 AM