PAPAN tanda Pantai Kerachut berhampiran jeti.
PAPAN tanda Pantai Kerachut berhampiran jeti.
TASIK Meromiktik menanti pengunjung dengan keunikan tersendiri.
TASIK Meromiktik menanti pengunjung dengan keunikan tersendiri.

Pantai Kerachut yang terletak dalam Taman Negara Pulau Pinang (TNPP) menggamit kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara untuk menikmati keindahan alam semula jadi termasuk hutan tropika yang terdapat di kawasan itu.

Pelbagai kelebihan dimiliki dari segi tarikan pelancongan menjadikan Pantai Kerachut terus kaya dengan keindahan dan suasana tenang selain dikelilingi hutan rimba berusia jutaan tahun di TNPP, yang muncul satu-satunya taman negara terkecil di Malaysia dari 15 lokasi iaitu tiga di Semenanjung dan 12 lagi di Sabah dan Sarawak.

Pengunjung berpeluang melihat proses penetasan anak penyu yang dikendalikan Jabatan Perikanan negeri selain kawalan keselamatan diawasi renjer TNPP.

Selain itu, saksikan keunikan Tasik Meromiktik seluas 2.7 kilometer yang mengandungi dua lapisan air iaitu air sungai tawar di bahagian atas sementara air laut masin di lapisan bawah.

Fenomena dua lapisan air itu berlaku sekitar April dan Mei setiap tahun ketika berlaku peralihan musim antara dua monsun iaitu Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya serta dipenuhi pelbagai hidupan marin seperti ikan, udang atau ketam.

Tasik itu akan kering semula apabila perubahan musim Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut sekitar Oktober setiap tahun. Kesempatan itu digunakan pelancong untuk mandi-manda kerana dipercayai air tasik itu mengandungi khasiat tersendiri.

Kewujudan TNPP membuka peluang pengunjung melakukan pelbagai aktiviti termasuk memancing, berkhemah dan menikmati pengalaman hidup di kawasan hutan.

Keadaan muka bumi mempunyai ekosistem berlainan seperti tanah lemban, hutan pamah, bukit dipterokap, hutan paya bakau, beting berlumpur, pantai berpasir, batu karang dan batu granit laut.

Kajian dan rekod membuktikan TNPP memiliki 190 spesies fauna dan 1,000 spesies flora yang menjadi tumpuan penyelidik, pembelajaran, rekreasi serta kegiatan eko-pelancongan.

TNPP boleh dikunjungi menerusi dua pintu masuk iaitu melalui pekan Teluk Bahang, sementara satu lagi melalui Kuala Sungai Pinang yang terletak di daerah Balik Pulau melalui bot.

TNPP dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada 5 Januari 2008 dan sejak itu, jumlah pengunjung terus meningkat dan setiap pengunjung yang berhasrat memasuki taman itu perlu mendaftar serta mendapat kebenaran terlebih dahulu sama ada kunjungan harian atau bermalam.

Pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai jenis hidupan seperti penyu agar, ular kapak tokong, punai gading, kura-kura Bertam dan helang siput, sementara spesies fauna pula meliputi ikan belacak, katak sungai bertompok kuning, lotong cengkong serta memerang kecil.

Bagi pengunjung dari Marang, Terengganu, Firdaus Abdullah, 32, kunjungan pertama kali ke Pantai Kerachut begitu mempesonakan selepas melihat keindahan semula jadinya.

“Saya mula mendaki bersama isteri, Sharifah Asma Syed Noh, 28, dan tiga ahli keluarga lain dari pekan Teluk Bahang jam 9 pagi dan tiba sejam setengah serta sepanjang perjalanan begitu mempesonakan.

“Keunikan dan keindahan alam semula jadi yang terdapat di taman negara ini perlu dikekalkan bagi membolehkan generasi akan datang terus menghayatinya,” katanya. - Syed Ismail Syed Abu Bakar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 6:21 AM