RUMAH bot Seri Mahawangsa sedia menanti pengunjung di Tasik Pedu
RUMAH bot Seri Mahawangsa sedia menanti pengunjung di Tasik Pedu
KEINDAHAN flora dan fauna yang masih belum terusik di Tasik Pedu pasti memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.
KEINDAHAN flora dan fauna yang masih belum terusik di Tasik Pedu pasti memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.
TASIK Pedu 'port' kaki pancing kerana menjadi lubuk ikan air tawar.
TASIK Pedu 'port' kaki pancing kerana menjadi lubuk ikan air tawar.
PENGUNJUNG teruja dibawa menjelajah Tasik Pedu bagi menikmati keindahannya.
PENGUNJUNG teruja dibawa menjelajah Tasik Pedu bagi menikmati keindahannya.
AMIR menunjukkan demonstrasi menangkap ikan lampam hanya menggunakan tangan.
AMIR menunjukkan demonstrasi menangkap ikan lampam hanya menggunakan tangan.
‘SPA ikan’ antara tarikan di rumah bot Seri Mahawangsa, Tasik Pedu.
‘SPA ikan’ antara tarikan di rumah bot Seri Mahawangsa, Tasik Pedu.
MENIKMATI makan malam di rumah bot Tasik Pedu.
MENIKMATI makan malam di rumah bot Tasik Pedu.
Mohd Sharumnisham Shahbudin

Sepuluh tahun lalu Tasik Pedu yang terletak di daerah Padang Terap, Kedah, terkenal dengan beberapa chalet dan hotel bertaraf antarabangsa.

Bagaimanapun, disebabkan masalah tertentu kemudahan itu kurang mendapat sambutan menyebabkan ia terpaksa ditutup atau ditinggalkan begitu sahaja.

Melihat tasik seluas 52 kilometer persegi itu mempunyai tarikan tersendiri serta kaya dengan flora dan fauna, seorang anak tempatan, Amir Wahab, 42, mengambil inisiatif mengembalikan keistimewaan Tasik Pedu dalam kalangan pelancong.

Berbekalkan modal RM30,000, beliau yang pernah berkhidmat di sebuah chalet di situ membangunkan sebuah rumah bot sejak dua tahun lalu.

“Pada mulanya usaha ini kurang mendapat sambutan tapi dengan sokongan rakan dan promosi melalui Facebook, rumah bot ini mula menjadi tumpuan.

“Dahulu, rumah bot ini akan menjelajah segenap pelosok tasik tapi kini ia hanya berlabuh di tengah tasik dan pengunjung akan dibawa meneroka tasik dengan bot kecil kerana ia lebih menjimatkan masa,” katanya.

Lokasi rumah bot yang dinamakan Seri Mahawangsa itu berlabuh cukup mendamaikan. Paling mengujakan apabila memerhatikan matahari terbenam sambil merendamkan kaki ke dalam tasik dan membiarkan ratusan ikan lampam mengerumuni kaki, seoalah-olah berada di spa ikan.

Pelbagai kemudahan disediakan di rumah bot itu termasuk dua bilik tidur untuk bermalam yang mampu memuatkan 13 orang dewasa, peralatan memasak, tandas dan set karaoke.

Bagi penggemar ikan air tawar dan kaki pancing, Tasik Pedu pasti tidak akan mengecewakan kerana ia lubuk kepada ikan seperti baung, kaloi dan lampam bersaiz besar.

“Jika memancing tidak mendatangkan hasil, kita turut menyediakan ikan segar yang ditangkap setiap hari dan akan memasaknya mengikut kemahuan pengunjung,” kata Amir.

Selain menikmati kedamaian dan kebiruan air tasik, pelbagai aktiviti sampingan boleh dilakukan.

Bagi yang menggemari aktiviti lasak, mereka boleh merentas jejak dan mendaki Gunung Fakir Terbang.

Selepas berjaya ke puncak, penat lelah pasti hilang menyaksikan pemandangan alam semulajadi yang menakjubkan termasuk melihat kawasan bukit yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand.

Amir berkata, bersebelahan Seri Mahawangsa berlabuh, terdapat sebuah pulau yang menjadi sebuah tapak perkhemahan dikenali Survival Island yang mampu memuatkan 40 orang pada satu masa yang dilengkapi kemudahan tandas dan tempat memasak.

“Ia sesuai untuk program aktiviti luar seperti kem bina semangat dan hari keluarga,” katanya yang turut bertanggungjawab menguruskan tapak terbabit.

Bagi yang ingin menikmati kedamaian Tasik Pedu yang terletak 90 kilometer dari Alor Setar ini dan mencuba cabaran di alam semulajadi yang belum terusik ini, boleh hubungi Amir Wahab di laman facebooknya, Amireco Pedulake bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 11:22 AM