Ahmad Zahid bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada sambutan Thaipusam di Kuil Mahamariamman Dhevasthanam, Batu Caves. FOTO Khairull Azry Bidin
Ahmad Zahid bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada sambutan Thaipusam di Kuil Mahamariamman Dhevasthanam, Batu Caves. FOTO Khairull Azry Bidin
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepelbagaian agama, budaya dan perayaan yang disambut masyarakat tempatan adalah kelebihan dan kekuatan yang mengukuhkan perpaduan rakyat negara ini.

Beliau menegaskan, perpaduan dan keharmonian bukan sekadar luahan retorik sahaja sebaliknya perlu diterjemah dengan penuh keikhlasan tanpa sebarang prejudis atau persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Berucap pada sambutan Thaipusam di Batu Caves di sini hari ini, beliau berkata perbezaan agama tidak harus menjurus kepada sebarang bentuk kekacauan.

“Negara kita terbentuk atas latar belakang yang berbeza, dan kepelbagaian ini harus kita perkukuhkan,” kata beliau. Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata sambutan Thaipusam di negara ini wajar dipromosi sebagai produk pelancongan bagi menarik kedatangan pelancong terutama dari India dan penganut Hindu dari seluruh dunia.

Kata beliau, Thaipusam bukan hanya satu perayaan yang harus dihormati tetapi ia juga telah menarik sekitar 1.5 juta penganut Hindu dan pelancong ke kuil di Batu Caves tahun ini.

“Saya harap Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mengadakan promosi di seluruh dunia terhadap apa (acara) yang kita lakukan pada hari ini di sini,” kata beliau. Bagi kerajaan, kata beliau, Kabinet sudah memutuskan supaya warga India yang bekerja di luar negara diberi pengecualian visa untuk melancong ke Malaysia.

Katanya, ia turut membabitkan sekitar 500,000 rakyat negara itu yang bekerja di Qatar yang boleh memanfaatkan peluang itu untuk mengunjungi Malaysia.

Ahmad Zahid berkata dengan kemudahan ini, diharap lebih ramai warga India dan penganut Hindu akan datang ke negara ini dan mengunjungi Batu Caves terutama pada perayaan Thaipusam.

Beliau seterusnya berkata usaha menarik lebih ramai pengunjung ke Batu Caves bukan hanya terletak di bahu Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan semata-mata kerana ia membabitkan semua pihak termasuk pengurusan kuil Batu Caves.

“Semua pengunjung yang datang ke sini boleh membantu mempromosikan sambutan Thaipusam di sini sebagai produk pelancongan,” kata beliau.

Turut hadir sewaktu kunjungan Ahmad Zahid itu ialah Presiden MIC yang juga Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk S A Vigneswaran, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri S K Devamany dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 4:11 PM