PENGANUT Hindu berhimpun sempena sambutan Thaipusam, di Batu Caves, semalam.
PENGANUT Hindu berhimpun sempena sambutan Thaipusam, di Batu Caves, semalam.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepelbagaian agama, budaya dan perayaan disambut masyarakat tempatan adalah kelebihan dan kekuatan yang mengukuhkan perpaduan rakyat negara ini.

Beliau menegaskan perpaduan dan keharmonian bukan sekadar luahan retorik kata-kata sebaliknya perlu diterjemah dengan penuh keikhlasan tanpa prejudis atau persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Berucap pada sambutan Thaipusam di Batu Caves, di sini semalam, katanya perbezaan agama tidak harus menjurus kepada sebarang bentuk kekacauan.

“Negara kita terbentuk atas latar belakang (penduduk) berbeza, dan kepelbagaian ini harus kita perkukuhkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sambutan Thaipusam di negara ini wajar dipromosi sebagai produk pelancongan bagi menarik kedatangan pelancong terutama dari India dan penganut Hindu dari seluruh dunia.

Katanya, Thaipusam bukan hanya perayaan yang harus dihormati, tetapi ia menarik sekitar 1.5 juta penganut Hindu dan pelancong ke kuil di Batu Caves tahun ini.

“Saya harap Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengadakan promosi di seluruh dunia terhadap apa (acara) yang kita lakukan hari ini di sini,” katanya.

Dari pihak kerajaan, katanya, Kabinet memutuskan supaya warga India yang bekerja di luar negara diberi pengecualian visa untuk melancong ke Malaysia.

Katanya, ia turut melibatkan 500,000 rakyat negara itu yang bekerja di Qatar yang boleh memanfaatkan peluang itu untuk mengunjungi Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, dengan kemudahan ini diharap lebih ramai warga India dan penganut Hindu berkunjung ke negara ini dan singgah ke Batu Caves terutama pada perayaan Thaipusam.

Turut hadir sewaktu kunjungan Ahmad Zahid itu ialah Presiden MIC yang juga Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk S A Vigneswaran, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri S K Devamany dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 6:41 AM