Junaidi Ladjana


Tawau: Polis sudah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terbabit mengurus pergerakan mangsa bot karam ke Sungai Nyamuk, secara haram.

Semua 14 penumpang dalam bot berkenaan dipercayai pendatang haram dari Indonesia yang mahu pulang ke negara mereka.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, semua 15 penumpang termasuk tekong dalam insiden bot karam di perairan Tinangat, kelmarin, disyaki keluar secara haram untuk ke Sungai Nyamuk, Indonesia.

“Polis tubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu, termasuk pemilik bot dan individu yang terbabit menjalankan aktiviti penyeludupan pendatang asing.

“Setakat ini, polis sudah mengenal pasti beberapa orang yang terbabit mengurus pergerakan mangsa ke Sungai Nyamuk.

“Kita akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang mengurus pergerakan bot berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini, hari ini.

Fadil berkata, bot terbabit turut dikesan melanggar arahan perintah berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Sementara itu, beliau berkata, kawasan pesisir pantai di daerah ini sepanjang 140 kilometer, dipercayai digunakan sebagai pendaratan pendatang asing selagi ada peluang.

"Bila dan di mana saja ada peluang, ia akan dijadikan pusat pendaratan mereka (pendatang haram)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 1:24 PM