FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sukar bergerak dan tindak-tanduk mereka sentiasa dipantau polis Cawangan Khas.

Tidak tahan diekori selain bimbang ditahan pihak berkuasa menyebabkan ada ketua geng kongsi gelap Malaysia beralih markas atau melarikan diri ke luar negara.

Ia susulan langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi khas membolehkan mereka ditahan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membenarkan suspek ditahan selama 28 hari.

Malah, ada yang sudah tinggal bertahun-tahun di luar negara dan turut menjalankan perniagaan di sana gerun untuk pulang ke tanah air selepas bimbang ditahan polis atas 'dosa' silam.

Sumber berkata, rata-rata ketua kongsi gelap ini menukar strategi demi kelangsungan hidup mereka dengan melarikan diri ke luar negara untuk bersembunyi selain membuka perniagaan di negara berkenaan.

Katanya, taktik melarikan diri ke luar negara jiran atau negara lain itu antara modus operandi popular jika ketua kongsi gelap ini merasakan nyawa dan keselamatan mereka terancam.

"Mereka akan menetap dalam tempoh yang lama di negara berkenaan dengan menggunakan wang dimiliki. Malah, ada yang berkahwin dengan rakyat negara berkenaan untuk memudahkan mereka memohon kerakyatan.

"Jadi yang tinggal di Malaysia hanyalah orang kanan dan ahlinya yang ditugaskan menguruskan kumpulan kongsi gelap. Mereka cuba diamanahkan untuk menyambung legasi ketua mereka.

"Bagaimanapun, serpihan kumpulan kongsi gelap ini tidak sekuat dahulu berikutan ketua mereka melarikan diri namun polis tetap memantau bagi memastikan kegiatan mereka dikekang dan dibanteras," katanya.

Sumber itu menambah, kumpulan kongsi gelap yang ada di negara ini tetap sama dan masih aktif walaupun tidak sekuat dahulu.

HUZIR MOHAMED
HUZIR MOHAMED

"Namun difahamkan mereka masih berhubung dengan ketua yang berada di luar negara.

"Sebelum ini kebanyakan ahli kongsi gelap ditangkap terpaksa dibebaskan selepas pertuduhan dipinda mengikut Akta Pertubuhan.

"Sebab itu ada yang cuba aktif semula walaupun tanpa kewujudan ketua mereka. Terbaharu penahanan di Johor membabitkan rampasan dadah 57.83 kilogram heroin, 4.53 kilogram base dan 77.70 kilogram kafein bernilai RM1.089 juta membabitkan geng kongsi gelap 36," katanya.

Menurutnya, antara kumpulan geng kongsi gelap yang masih dikesan aktif di negara ini termasuk Geng 36, 08, 04, 21 dan Satu Hati.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Huzir Mohamed berkata, kumpulan kongsi gelap ketika ini masih terkawal dan tidak seganas sedekad lalu selepas polis menggempur dan menahan kebanyakan mereka.

Beliau mengakui ramai ketua kumpulan ini melarikan diri keluar negara dan yang tinggal hanya serpihan ahli bagi meneruskan kegiatan ditinggalkan ketua mereka.

"Buktinya trend jenayah kes berat seperti penculikan, pembunuhan, tembak dan sebagainya menunjukkan penurunan kes berbanding beberapa tahun lalu.

"Kumpulan kongsi gelap baharu turut segera dibanteras polis antaranya tindakan diambil terhadap kongsi gelap di Sungai Petani, Kedah yang terbabit dalam kegiatan dadah," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, akan mengambil langkah paling drastik termasuk mendapatkan hukuman maksimum akan dilakukan bagi mengekang kegiatan kongsi gelap.

Katanya, pihaknya mengambil apa sahaja inisiatif bersesuaian bagi mematahkan unsur kongsi gelap, supaya ia tidak berleluasa seperti 1960-an hingga 1980-an.

"Tidak boleh biarkan apa juga jenis kongsi gelap bergiat dalam negara kita ini dan pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan mengambil langkah yang paling drastik sekali untuk mendapatkan hukuman maksimum ke atas mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 1:00 PM