PENYEGAR udara dan barangan lain turut diletakkan di dalam surau.
PENYEGAR udara dan barangan lain turut diletakkan di dalam surau.

Pada cuti Hari Wilayah Persekutuan lalu, Kindness Malaysia melaksanakan Projek Surau yang membabitkan 15 sukarelawannya.

Lokasi yang dipilih adalah surau di sekitar Petaling Jaya, Selangor. Projek yang menyasarkan 20 surau itu dilaksanakan dengan misi mengharumkan dan membersihkan surau terpilih.

Menurut Projek Koordinator Kindness Malaysia, Iman Nur Alia Khairudin, usaha berkenaan juga dilakukan bagi membantu meringankan beban pekerja surau.

“Persediaan awal diadakan kira-kira dua minggu sebelum projek dilaksanakan dan kami sempat mengumpul dana bagi membeli peralatan sesuai untuk diletakkan di surau.

“Antaranya pewangi, pencuci tangan, sejadah, cermin muka, kain pelikat, penyahbau, bedak, penyangkut baju, seluar dan telekung.

“Sesi mengasingkan barangan juga dibuat sebelum kami bergerak ke surau. Ini bagi memudahkan kami untuk meletakkan barang berkenaan di bahagian jemaah lelaki dan perempuan.

“Cuaca panas dan terik pada hari itu bukanlah penghalang untuk kami melaksanakan misi Projek Surau ini hingga habis,” katanya.

Sekitar jam 11.30 pagi, semua sukarelawan tiba di lokasi surau yang terpilih dan mereka bergerak secara berkumpulan. Sukarelawan lelaki menuju ke surau lelaki begitu juga dengan perempuan. Walaupun ada sedikit kesulitan mencari surau pertama, sukarelawan terbabit tidak patah semangat sebaliknya gigih meneruskan misi.

Keadaan tidak sama di setiap surau yang dibersihkan. Oleh itu, mereka perlu mengagihkan tugas seperti melipat sejadah, menggantung telekung, mengharumkan surau dan membersihkan tempat wuduk.

“Kami ditegur oleh seorang pekerja di situ. Dia bertanya mengenai tujuan sukarelawan berada di situ. Apabila menyatakan tujuan kami untuk membersihkan surau, pekerja berkenaan tersenyum kerana belum ada pihak yang datang membantu membersihkan surau sejak 18 tahun lalu.

“Senyuman yang dilemparkan pekerja berkenaan membuatkan hati kami puas. Tanda gembira dan ucapan terima kasihnya amat kami hargai.

“Misi untuk menggembirakan orang ramai sama ada yang menggunakan surau itu ataupun pekerja nampaknya membuahkan hasil,” katanya.

Pada jam 2 petang, semua sukarelawan berjaya menyiapkan kerja. Sumbangan tidak berhenti di situ, mereka turut memberikan minuman percuma kepada insan bertuah seperti pengawal bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 5:13 AM