HENRIK STENSON
HENRIK STENSON

MIAMI: Pemain Sweden, Henrik Stenson mencipta birdie pada tiga lubang berturut-turut untuk berkongsi kedudukan pendahulu ketika Tiger Woods tampak sedikit goyah pada pusingan kedua Jelajah PGA Arnold Palmer Invitational, hari ini.

Stenson yang menjuarai Terbuka British 2016 dan naib juara Olimpik Rio melakukan tiga bawah par 69 untuk berkongsi carta pendahulu bersama pemain Amerika Syarikat (AS), Bryson DeChambeau untuk keseluruhan 11 bawah par 133 selepas 36 lubang di Bay Hill.

Woods yang mempunyai 14 kali gelaran Major dan juara lapan kali di lapangan Orlando menamatkan pusingan dengan lapan bogey untuk menyamai par 72 dan ketinggalan tujuh pukulan untuk keseluruhan empat bawah par 140.

“Hari ini jelas tidak begitu bagus seperti semalam tetapi apa yang penting adalah di lubang ke-16, 17 dan 18,” kata Stenson.

“Saya berjaya melakukan par pada ketiga-tiganya sekalipun melakukan pukulan yang tidak begitu baik, saya kekal tenang dan menyempurnakannya tiga kali berturut-turut. Tiga berturut-turut di lapangan golf ini bukan sesuatu yang buruk.”

Woods dalam pada itu terpaksa bergelut apabila gagal melakukan pukulan seperti yang diharapkan sejak awal permainan apabila melakukan bogey seawal lubang pertama.

“Ia jelas hari yang buruk,” kata Woods. “Saya terpaksa bekerja dengan amat keras, ia cukup sukar. Saya tidak memukul bola dengan baik. Tetapi saya bertahan.”

Sementara itu, DeChambeau yang memenangi gelaran PGA pertamanya pada Julai tahun lalu di John Deere Classic beraksi dengan baik apabila menamatkan pusingan dengan enam bawah par.

Seorang lagi pemain AS, Talor Gooch ketiga selepas melakukan 135 manakala pemain Korea Selatan, An Byeong-hun keempat dengan 136. - AFP

Keputusan pusingan kedua:

133 - Henrik Stenson (SWE) 64-69, Bryson DeChambeau 67-66

135 - Talor Gooch 65-70

136 - An Byeong-hun (KOR) 68-68

137 - Charley Hoffman 71-66

138 - Rickie Fowler 67-71, Billy Horschel 68-70, Luke List 71-67, Patrick Reed 68-70, Ryan Moore 71-67

139 - Rory McIlroy (NIR) 69-70, Ernie Els (RSA) 69-70, JB Holmes 68-71, Bud Cauley 72-67, Sam Burns 69-70, Curtis Luck 71-68

140 - Chris Kirk 71-69, Marc Leishman (AUS) 70-70, Kevin Chappell 70-70, Bubba Watson 70-70, Justin Rose (ENG) 69-71, Tiger Woods 68-72, Zach Johnson 69-71, Grayson Murray 71-69

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 2:43 PM