Annuar menyatakan kesediaan hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi esok selepas tiba dari Auckland, New Zealand malam tadi.
Annuar menyatakan kesediaan hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi esok selepas tiba dari Auckland, New Zealand malam tadi.
Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa akan hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya jam 8 pagi esok untuk disiasat berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO dan Ahli Parlimen Ketereh menyatakan kesediaan untuk disiasat secara telus selain akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Beliau menyatakan tidak akan menyembunyikan apa-apa fakta memandangkan kes berkenaan sudah menjadi isu rakyat dan kes berprofil tinggi.

“Bila mana ada tuduhan dibuat, rakyat pasti mahu tahu dan eloklah ia disiasat,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Auckland, New Zealand, malam tadi.

Annuar mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana pantas memulakan siasatan berhubung kes berkenaan.

Dalam pada itu, beliau meminta ahli UMNO bertenang dan tidak menambah kesusutan kes itu kerana ia perkara biasa yang akan ditangani mengikut peraturan serta undang-undang.

Beliau turut menghormati keputusan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak kerana masih mengekalkannya sebagai Ketua Penerangan.

Bagaimanapun, beliau masih perlu bertemu dengan Najib bagi membincangkan kedudukannya dalam parti.

"Jika Presiden ada kelapangan, saya akan bertemu dengannya sama ada petang esok (hari ini) selepas memberi keterangan kepada SPRM,” katanya.

Ketibaan Annuar disambut lebih 400 penyokong yang rata-rata pengundinya dari kawasan Parlimen Ketereh dengan kebanyakannya berpakaian merah.

Mereka mula berkumpul di KLIA sejak 8 malam sejurus tiba dengan 10 buah bas dari Kelantan.

Para penyokongnya turut memegang kain rentang yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Annuar sepanjang memimpin Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai Pengerusi selain jasanya membangunkan pasukan bola sepak ‘The Red Wariors’.

Beliau yang sebelum ini digantung tugas sebagai Pengerusi MARA dan Pelaburan MARA Bhd (PMB) berkaitan isu tajaan pasukan bola sepak negeri berkenaan membabitkan agensi itu serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Pergantungan itu dibuat bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman berhubung dakwaan berkenaan.

Isu dicetuskan oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa MARA dan UniKL mengeluarkan dana bagi menaja TRW.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 12:12 AM