Satu perkembangan menarik dalam industri filem di Malaysia apabila akhir-akhir ini filem Cina dihasilkan penggiat tempatan semakin menyerlah dan mendapat perhatian.

Bukan tidak ada pengarah Cina menghasilkan filem sebelum ini seperti James Wong dan Ho Yuhang tetapi sambutannya tidak begitu ketara, berbeza dengan apa yang berlaku akhir-akhir ini.

Ia bermula dengan karya Namewee, Nasi Lemak 2.0. Filem ini dihasilkan dengan bajet rendah dan tidak mendapat pembiayaan dana kerajaan sebagaimana majoriti filem Melayu, menyebabkan pembikinannya mengambil masa selama dua tahun.

Akhirnya selepas pelbagai masalah dihadapi, Nasi Lemak 2.0 ditayangkan di 70 pawagam di Malaysia bermula 8 September 2011. Dengan pelbagai bahang kontroversi, kutipan filem ini juga tidak menghampakan apabila mencecah RM8 juta.

Anak muda ini terus menghasilkan filem Petaling Street Warriors (2011) dan Hantu Gangster (2012) tapi filem terbarunya, Banglasia diharamkan tayangannya.

Filem The Journey arahan Chiu Keng Guan dan diterbitkan Astro Shaw pula lebih mencuri perhatian apabila ditayangkan sempena Tahun Baru Cina pada 30 Januari lalu.

Siapa sangka filem yang tiada pelakon dikenali dan tanpa pub­lisiti besar-besaran ini berjaya mencuri tumpuan hebat. Pada Februari, ia menjadi filem Cina tempatan pertama mendapat kutipan RM10 juta mengatasi Ah Beng: Three Wishes (RM7.6 juta) dan kurang sedikit daripada kutipan Ombak Rindu.

Kemudian ia mengatasi rekod KL Gangster (RM11.74 juta) apabila kutipannya mencecah RM12.92 juta dan pada Mac pula mening­kat kepada RM15.18 juta dan angka terakhir RM17.2 juta.

Kejayaan The Journey menunjukkan filem yang bagus tanpa pelakon dikenali tetap ditonton ramai. Jalan cerita dan kisah dalam The Journey dekat dengan rakyat Malaysia dan menjadi antara daya penarik filem ini. Penggambaran filem ini dibuat di Cameron Highlands, Pulau Pinang, Pulau Aur, Johor; Kuala Lumpur, Baling, Ipoh dan Johor Bahru.

Satu lagi faktor yang membantu kejayaan besar filem ini ialah sokongan kuat dari kaum Cina, ditambah pula sokongan penonton Melayu. Mungkin jika filem ini dihasilkan dalam bahasa Melayu, ia tidak akan mencatat kejayaan sebesar itu.

Bagaimana pula agaknya de­ngan Lelaki Harapan Dunia arahan Liew Seng Tat yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 27 November ini? Ia filem dihasilkan pengarah Cina tetapi dijayakan pelakon Melayu dan dalam bahasa Melayu.

Adakah sokongan orang Cina sekuat sokongan untuk The Journey? Bagaimana pula sokongan orang Melayu? Kalau sokongannya sama seperti The Journey, mungkin Lelaki Harapan Dunia boleh dianggap sebagai filem Malaysia.

Berbeza pula dengan sambutan untuk filem Melayu. Untuk tahun ini, filem mencatat lebih RM2 juta hanya Abang Long Fadil (RM4.6 juta) dan Balistik (RM2.2 juta) dan kebanyakannya pula sekadar mampu mencatat RM30,000.

Dalam kebangkitan filem arahan penggiat Cina, ada pula yang meluahkan rasa kurang senang mengenai satu program mengenai penghijrahan selebriti

disiarkan sebuah stesen televisyen.

Yang membuatkan dirinya kurang senang kerana program demikian diarahkan oleh pengarah bukan Islam. Ia seolah-olah tiada pengarah lain yang lebih sesuai.

Ada benarnya luahan hatinya. Kalau produser bukan Muslim menghasilkan filem atau karya Islamik mungkin tiada masalah, tetapi kurang wajar kalau pengarahnya bukan Islam kerana intipati program mengenai Islam.

Mungkin lebih manis jika program itu diberi kepada pengarah Islam kerana lebih dekat de-ngan mereka. Mungkin juga ada yang melihat ia dari sudut positif sebagai dakwah halus kepada bukan Islam. Siapa tahu, dengan menghasilkan program itu, terbuka pintu hatinya untuk berhijrah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:02 AM