HAMIRULLAH (kiri) dan Naib Presiden Eksekutif Khidmat Kewangan Perbankan dan Pembayaran Virtual Maybank, Kalyani Nair pada pelancaran Snap & Donate, semalam.
HAMIRULLAH (kiri) dan Naib Presiden Eksekutif Khidmat Kewangan Perbankan dan Pembayaran Virtual Maybank, Kalyani Nair pada pelancaran Snap & Donate, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank) menyasarkan peningkatan 25 peratus bagi segmen perbankan atas taliannya (online) tahun ini daripada RM148 bilion nilai transaksi yang direkodkan tahun lalu.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komunitinya, Hamirullah Boorhan berkata, pihaknya yakin unjuran itu didorong perkembangan penggunaan Internet dan telefon pintar di negara ini.

Beliau berkata, jumlah penggunaan telefon pintar di Malaysia kini merekodkan lebih kurang 10 juta pengguna dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

“Daripada jumlah pengguna telefon pintar ini, kami menyasarkan 20 peratus daripada mereka menggunakan perkhidmatan perbankan atas talian.

“Trend penggunaan transaksi Internet semakin meluas dan setakat ini, ada lima juta pelanggan Maybank yang menggunakan segmen perbankan dengan 2.5 juta daripadanya terdiri daripada pengguna aktif,” katanya selepas majlis pelancaran aplikasi digital terbaharunya, Snap & Donate di sini, semalam.

Snap & Donate adalah aplikasi digital pertama di negara ini yang memudahkan pelanggan menyalurkan sumbangan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan dan badan amal hanya dengan mengambil gambar logo organisasi yang ingin didermakan menggunakan telefon pintar mereka dan sumbangan boleh dibuat terus menerusi Maybank2u.

Jumlah sumbangan menerusi aplikasi berkenaan bermula daripada RM10 hingga RM100 sehari.

Hamirullah berkata, pengenalan aplikasi baru itu bagi mengukuhkan kehadiran segmen digital Maybank serta meningkatkan kemudahan teknologi maklumat kepada pelanggan perbankan mudah alih dan menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai di negara ini.

Beliau berkata, pada 2013, 15,000 sumbangan bernilai RM1.5 juta diberi kepada badan amal berdaftar melalui Maybank2u dan ia meningkat 40 peratus tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 6:43 AM