ERMA mengalu-alukan orang ramai memberi sumbangan kepada mangsa banjir.
ERMA mengalu-alukan orang ramai memberi sumbangan kepada mangsa banjir.

Prihatin terhadap mangsa banjir di pantai timur, Perak, Perlis dan Johor, artis yang terbabit dalam pementasan drama muzikal Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta menganjurkan program amal sumbangan buat mangsa banjir di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 7 Januari ini.

Pada hari itu, artis yang terbabit seperti Amy Search, Awie, Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Datin Paduka Umie Aida, Remy Ishak dan Beto Kusyairi mengalu-alukan orang ramai hadir ke Istana Budaya memberi sumbangan barang keperluan seperti makanan, selimut, pakaian serta wang tunai mulai jam 2 petang.

Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta akan dipentaskan mulai 2 hingga 6 Januari ini.

Pengarahnya, Erma Fatima berkata, pada 7 Januari pihaknya juga akan mengadakan pementasan amal di mana semua kutipan tiket pada hari itu akan disalurkan kepada mangsa banjir.

"Selain itu, untuk pementasan dari 3 hingga 6 Januari, sebahagian daripada kutipan tiket akan disalurkan kepada mangsa banjir," katanya.

Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta yang dipentaskan sempena Maulidur Rasul adalah drama muzikal riwayat hidup Nabi Muhammad SAW dari kelahiran hinggalah kewafatan baginda diiringi selingan lagu-lagu kisah Nabi dan selawat.

Drama muzikal terbitan Amazon Entertainment dengan kerjasama Istana Budaya itu pernah dipentaskan di lokasi sama pada 2008 dan 2009.

Ia juga satu-satunya produksi pementasan teater Islam pertama di Asia Tenggara yang memaparkan sejarah hidup Rasulullah SAW sempena sambutan Maulidur Rasul.

Skrip dan konsep persembahannya juga diluluskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Artis lain yang turut terbabit dalam pementasan ini ialah Datuk Rahim Razali, Ellie Suriati, Tegar, Shiha, Sahronizam, Jessie Lim dan ramai lagi.

Tiket berharga RM50, RM100, RM150, RM200, RM250 dan RM400 sudah dijual sejak 26 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:00 AM