Oleh Yusmawati Mhd Yusof


Melaka: Seorang pengawal keselamatan lelaki ditemui parah dalam keadaan tangan dan ibu jari kaki terikat dalam kejadian samun di sebuah sekolah memandu di Kandang, di sini, awal pagi ini.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa berusia 60-an ditemui dalam keadaan berlumuran darah di hadapan bilik kuliah sekolah memandu milik seorang pengusaha kantin.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku jam 3.30 pagi apabila tiga lelaki memecah masuk melalui pagar hadapan sekolah memandu berkenaan.

"Mangsa dipercayai dipukul dengan sebatang kayu di hadapan kaunter dan diheret sebelum tangan dan kakinya diikat manakala mulut ditutup dengan pita pelekat," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaik Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian dan katanya siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 12:40 PM