ISKANDAR perlu lebih serius tingkat tahap permainan jika mahu ikut jejak langkah Chong Wei.
ISKANDAR perlu lebih serius tingkat tahap permainan jika mahu ikut jejak langkah Chong Wei.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: “Acara perseorangan kita selepas era (Datuk) Lee Chong Wei berada dalam situasi ICU (Unit Rawatan Rapi).”

Itu yang dilabelkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengenai situasi acara perseorangan lelaki negara ketika ini berikutan tiada pengganti yang benar-benar mampu mengambil alih tempat Chong Wei sekiranya pemain nombor satu dunia itu bersara kelak.

Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) menjelaskan, justeru jurulatih perseorangan lelaki negara terdiri daripada Hendrawan, Tey Seu Bock serta Indra Wijaya perlu mempunyai perancangan yang kukuh bagi memastikan dapat menghasilkan ramai pemain pelapis dalam tempoh terdekat.

“Sekarang ini kita perlu memikirkan cara ‘rawatan ICU’ bagi membolehkan kita mencari pemain pelapis berkualiti.

“Saya ada meminta barisan jurulatih perseorangan menamakan tiga pemain yang mampu menggantikan Chong Wei.

“Saya tahu mereka berdepan masalah untuk memberikan nama-nama itu. Apapun saya rasa ia amat baik untuk kami mengetahui masalah masing-masing,” katanya selepas bertemu dengan jurulatih negara semalam.

Norza berharap acara perseorangan negara dapat mengikut jejak langkah acara lain.

“Kita dapat lihat peningkatan ketara dalam acara lain. Beregu lelaki kita sebagai contohnya berada dalam kedudukan terbaik ketika ini,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 9:21 AM