Oleh Nur Saliawati Salberi


Shah Alam: Dua belas keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran di Jalan Kebun Kampung Baru Dua di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, 12 rumah musnah selepas satu daripada rumah berkenaan tiba-tiba terbakar dan api merebak ke rumah bersebelahan.

Penolong Pengarah Operasai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 9.30 pagi, dua jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan BBP Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian 14 minit kemudian, kira-kira 70 peratus rumah berkenaan sudah musnah kerana api marak.

"Tiga kanak-kanak yang berada dalam rumah itu ketika kebakaran berlaku diselamatkan penduduk.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih disiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 2:47 PM