Norrasyidah Arshad


RUMAH bekas penyampai berita TV3, Nasharudin Tajudin di Seksyen 20, Shah Alam, musnah 80 peratus akibat kebakaran petang hari ini.

Kebakaran pada 3.50 petang itu turut memusnahkan dua kereta Hyundai miliknya.

Nasharudin berkata, ketika kejadian beliau sedang tidur di bahagian belakang rumah manakala seorang anaknya menonton televisyen di ruang tamu.

“Anak saya beritahu, dia berasa panas dan terus keluar mencari punca panas itu.

“Dia terkejut apabila melihat bahagian atas garaj kereta sudah terbakar dan terus mengejutkan saya,” katanya.

Beliau dan anaknya terus keluar mengikut pintu belakang berikutan risau berlakunya lintas pintas.

“Saya reda dengan kejadian ini. Seorang anak saya cedera ringan di bahagian tangan terkena serpihan plastik terbakar ketika cuba memadam kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15 Shah Alam, Azmel Kamarudin, berkata, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian hadapan rumah.

Katanya, api merebak ke kawasan bumbung dan menyebabkan bumbung itu runtuh.

“Keadaan kawasan dalam rumah tidak terbakar, tetapi ia rosak teruk disebabkan atap yang runtuh.

“Bahagian tepi bumbung rumah jiran sebelah mangsa terbakar sedikit. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 9:21 PM
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran melibatkan rumah  pembaca berita tv3 Nasharudin Tajudin di jalan Landak, Seksyen 20 Shah Alam. -Foto  IHSAN BOMBA
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran melibatkan rumah pembaca berita tv3 Nasharudin Tajudin di jalan Landak, Seksyen 20 Shah Alam. -Foto IHSAN BOMBA