PENDUDUK Kampung Kubang Sawa, Tumpat, membeli keperluaan harian di tepi jalan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PENDUDUK Kampung Kubang Sawa, Tumpat, membeli keperluaan harian di tepi jalan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Penduduk di empat kampung di sepanjang Sungai Golok, di sini, berperahu menyeberangi kawasan sawah yang digenangi air untuk membeli barang keperluan harian.

Penduduk Kampung Kubang Sawa, Halimah Yusof, 66, berkata dia menaiki perahu sejak dua minggu lalu untuk keluar dari rumahnya bagi membeli barang.

"Kebiasaannya, penjaja yang menaiki motosikal roda tiga akan ke kampung menjual barang diperlukan. Namun, disebabkan banjir dia terpaksa meletakkan hasil jualannya di tepi Jalan Kasban dekat Kampung Naga Ibu.

"Oleh itu, kami perlu menaiki perahu kira-kira 10 minit dari rumah bagi membeli ikan, sayur dan barang lain diperlukan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, penjaja, Mukhtar Pak Dik, 48, berkata, dia tidak ada pilihan lain selain berniaga di pinggir Jalan Kasban itu kerana laluan masuk ke kampung terputus akibat ditenggelami air.

Katanya, biasanya dia akan menjaja di Kampung Kubang Sawa, Bendang Pak Yong, Naga Ibu dan Derdap.

"Jika saya tidak berniaga di sini, penduduk kampung terpaksa keluar ke pasar Chabang Empat yang jaraknya kira-kira 10 kilometer dari kampung itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 2:14 PM