Pasukan perubatan memeriksa mayat seorang lelaki yang dipercayai meninggal dunia kerana serangan jantung. FOTO Ihsan Bomba
Pasukan perubatan memeriksa mayat seorang lelaki yang dipercayai meninggal dunia kerana serangan jantung. FOTO Ihsan Bomba
Khairul Najib Asarullah Khan


Nilai: Anggota Bomba dan Penyelamat Nilai terpaksa mengumpil jeriji sebuah kediaman sebelum menemui mayat seorang lelaki dipercayai mati akibat serangan jantung di Laman Kenangan, Nilai Impian, Nilai, petang tadi.

Mayat R Shankar, 40, ditemui selepas adiknya meminta bantuan bomba berikutan panggilan telefon dibuat ibunya tidak dijawab sejak pagi tadi.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Nilai, Syazwan Saidy berkata, sejurus menerima panggilan, pihaknya menggerakkan lapan anggota ke lokasi.

Beliau berkata, anggota mengambil masa kira-kira lima minit memecahkan jeriji sebelum menemui mangsa tersandar atas sofa.

"Bagaimanapun, pasukan perubatan yang turut dipanggil mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Adiknya, R Kumar berusia 37 tahun memberitahu, dia ada menelefon abangnya kira-kira jam 4 petang semalam.

"Bagaimanapun, pagi tadi, ibu mangsa cuba menelefonnya namun panggilan tidak dijawab," katanya.

Syazwan berkata, disebabkan itu, adik mangsa menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

"Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 10:15 PM