TANGISAN Siti yang membuatkan semua peminat turut menangis.
TANGISAN Siti yang membuatkan semua peminat turut menangis.
SITI meraikan hari jadi bersama ibu tercinta, Salmah Bachik.
SITI meraikan hari jadi bersama ibu tercinta, Salmah Bachik.
SEBAHAGIAN peminat yang  hadir.
SEBAHAGIAN peminat yang hadir.
SITI berlari dalam guni.
SITI berlari dalam guni.
RAKAN media ‘sporting’ menyertai acara sukan rakyat.
RAKAN media ‘sporting’ menyertai acara sukan rakyat.
ZAIM pemenang peminat paling unggul.
ZAIM pemenang peminat paling unggul.
Sudirman Mohd Tahir


Hari terakhir perjumpaan kelab peminat penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza iaitu Siti Zone di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis, Pahang bermula Jumaat hingga kelmarin bertukar sayu apabila penyanyi itu menangis di depan hampir 200 peminat.

Semuanya disebabkan persembahan kejutan yang dilakukan peminat menerusi lagu Inspirasi nyanyian asal Faizal Tahir dan Hafiz Suip.

“Anda semua ‘jahat’ sebab buat saya menangis. Apa yang anda persembahkan ini sesuatu yang sangat bermakna. Terima kasih di atas kasih sayang dan sokongan anda kepada saya,” kata Siti dalam ucapannya.

Siti yang popular menerusi lagu Bukan Cinta Biasa berkata, kesanggupan peminat menyertai program sempena ulang tahun ke-13 Siti Zone itu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Apa tidaknya, peminat yang datang bukan saja dari dalam negara, malah dari Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Sejujurnya saya sangat terharu dan tersentuh. Apatah lagi yang datang dari Indonesia itu berasal dari kawasan jauh. Apabila difikir semula memang tak terbalas budi baik mereka.

“Saya memahami keterujaan dan semangat mereka untuk berjumpa sehinggakan sanggup berbuat apa saja. Saya sangat mengagumi mereka.

“Seperti selalu saya tekankan saya juga manusia biasa yang ada kekurangan dan tak sempurna. Ada ketika saya tak boleh memenuhi permintaan mereka, tapi mereka sangat memahami dengan keadaan dan situasi saya,” katanya.

Menurut Siti, program Moh Balik Lepih! ini dipilih atas persetujuan ramai kerana masing-masing teringin ke kampung halaman Siti.

Secara kebetulan ia bersamaan sambutan Tahun Melawat Negeri Pahang 2017.

“Program sebegini sudah menjadi acara tahunan Siti Zone. Setiap tahun kami memilih konsep berbeza untuk diketengahkan. Sedikit sebanyak ia menjadikan acara lebih meriah.

“Pemilihan untuk ke Kuala Lipis ini dibuat selepas banyak permintaan daripada peminat. Mereka ingin mengenali lebih dekat kampung saya. Walaupun ada antara mereka yang pernah datang ke rumah saya, tapi belum puas,” katanya.

Sukan rakyat dengan peminat

Program tiga hari dua malam itu tidak lengkap tanpa aktiviti dalam kumpulan.

Dibahagikan kepada 18 kumpulan membabitkan nama album Siti.

Pada malam pertama aktiviti lebih kepada suai kenal. Pada masa sama setiap kumpulan perlu membuat persembahan pengenalan kumpulan.

Hari kedua dimulakan dengan acara ‘explorace’. Sebanyak sembilan lokasi perlu dituju yang berkaitan sejarah hidup Siti.

Antaranya berek Balai Polis Kuala Lipis, Sekolah Kebangsaan Clifford, rumah Siti, bilik darjah dan papan tanda rumah Siti.

“Kalau nak tahu Kak Rozi (pengurus) yang banyak merancang program ini. Difahamkan kira-kira dua bulan masa diambil untuk melaksanakan program ini. Bukan mudah sebenarnya nak mengurus acara sebegini.

“Apa saya boleh katakan, kekuatan saya dengan peminat adalah Kak Rozi. Dia yang banyak memainkan peranan. Kalau nak harapkan saya memang tak terkawal,” katanya.

Aktiviti pada sebelah petang diteruskan dengan acara sukan rakyat. Menariknya Siti tidak melepaskan peluang untuk terbabit sama.

Permainan itu terdiri daripada susun bata, lari dalam guni, lari ikat kaki, baling belon dan tolak kelapa.

Sebelumnya, Siti sempat menunjukkan kepakaran dalam menyediakan spageti buat peminat sebagai hidangan minum petang.

Pada sebelah malam pula, diadakan acara malam gala iaitu persembahan berkumpulan.

Seperti tahun sebelumnya, perjumpaan kelab peminat Siti turut mencari seorang peminat unggul.

Pencarian itu dibuat menerusi beberapa soalan yang dikemukakan dan ia dimenangi Mohamad Zaim Mohamad Zamri, 30.

Selepas ini Siti merancang mengadakan kenduri doa selamat bersama peminat bersempena kejayaannya di Anugerah Industri Muzik yang lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 10:30 AM