Anggota bomba memadamkan kebakaran bas di Taman Tiram Indah, Lunas. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba memadamkan kebakaran bas di Taman Tiram Indah, Lunas. FOTO ihsan bomba
Azahar Hashim


Kulim: Empat bas kilang musnah manakala sebuah van terbakar 15 peratus dalam kejadian di Taman Tiram Indah, Lunas, di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, setakat ini punca sebenar kejadian sama ada akibat perbuatan khianat atau sebaliknya belum diketahui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Penolong Penguasa Bomba Mohd Azizi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.16 pagidan bergegas ke tempat kejadian bersama 11 anggota serta sebuah jentera bomba dan sebuah ambulans Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS).

Katanya, pihak turut dibantu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim dan tiba di tempat kejadian kira-kira jam 3.29 pagi.

"Tiba di tempat kejadian didapati empat bas kilang diparkir di tempat meletak bas terbakar.

"Ada beberapa van diletak di situ tetapi hanya sebuah terbakar.

"Anggota Bomba melakukan tindakan pemadaman dengan mengunakan dua aliran dan tiga pancutan bagi memadamkan kebakaran dan api berjaya dikawal pada 3.51 pagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Azizi berkata, empat bas terbabit musnah 95 peratus manakala sebuah van musnah 15 peratus.

"Tiada mangsa yang terbabit dan punca sebenar serta kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 9:55 AM