KEBAKARAN rumah didiami 20 individu yang mengorbankan pasangan warga emas di Kampung Kinapulidan, Ranau. FOTO IHSAN JBPM
KEBAKARAN rumah didiami 20 individu yang mengorbankan pasangan warga emas di Kampung Kinapulidan, Ranau. FOTO IHSAN JBPM
Recqueal Raimi


PASANGAN suami isteri warga emas maut selepas terperangkap dalam rumah yang terbakar di Kampung Kinapulidan, Ranau, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.25 pagi, Yahya Maidin dan isterinya, Wasiah Wakadi, masing-masing berusia 70 tahun tidak sempat diselamatkan penghuni lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 3.29 pagi.

Katanya, seramai enam anggota bergegas ke lokasi bersama satu jentera, kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan pacuan empat roda.

“Sebaik tiba, rumah jenis satu tingkat didapati musnah sepenuhnya dan difahamkan terdapat 20 penghuni membabitkan 16 individu dewasa serta empat kanak-kanak.

“Bagaimanapun ketika kejadian, penghuni lain tidak sempat menyelamatkan dua mangsa berikutan api merebak dengan cepat selain dikelilingi asap tebal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ridwan berkata, anggotanya segera menjalankan operasi memadam api sehingga berjaya dikawal jam 4 pagi.

“Selepas api dipadamkan, usaha mencari mangsa dilakukan dan kedua-duanya ditemui dalam keadaan rentung di lantai tingkat bawah.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ridwan berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati satu kenderaan jenis van musnah sepenuhnya dan sebuah pacuan empat roda terbakar 30 peratus.

“Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya jam 8.16 pagi.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 10:47 AM