ANTARA 400 karya landskap dihasilkan Loo.
ANTARA 400 karya landskap dihasilkan Loo.
REPLIKA burung menghiasi taman mini.
REPLIKA burung menghiasi taman mini.
BOTOL kaca gantung untuk tumbuhan udara.
BOTOL kaca gantung untuk tumbuhan udara.
POKOK udara juga sesuai untuk taman mini terrarium.
POKOK udara juga sesuai untuk taman mini terrarium.
STRUKTUR batuan kecil untuk hiasan landskap.
STRUKTUR batuan kecil untuk hiasan landskap.
Oleh Mohd Sabran Md Sani

Berhasrat memiliki sebuah taman, namun ruang kediaman yang terhad membataskan impian itu dilaksanakan.

Mungkin juga anda gemarkan taman berkonsep 'eco green', tetapi kurang masa untuk menjaganya disebabkan sibuk dengan tugas seharian.

Ia juga tidak bermakna aktiviti pertanian bakal 'berkubur' begitu saja, sebaliknya dengan botol kaca sekali pun seni landskap dapat dihasilkan secara kreatif.

Itu yang cuba diketengahkan CK Loo yang juga pemilik Frozen Trees Gift & Premium dalam memperkenalkan taman mini tumbuhan dalam kaca.

Produk kreatif dikenali terrarium itu dipertontonkan kepada pengunjung tapak pameran Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen di Bukit Ekspo, Taman Pertanian Universiti, UPM, Serdang, baru-baru ini.

Dilihat dari luaran, ia hanya pokok renek yang disimpan dalam botol kaca, namun nilai seninya memberi kepuasan kepada setiap mata yang memandang.

Terrarium adalah konsep laman mini yang dihasilkan dalam botol kaca dengan mengekalkan ekosistem bagi rua­ngan tertutup.

Perkataan terrarium berasal daripada bahasa Greek iaitu 'terra' membawa maksud tumbuhan dan 'rium' kaca.

Konsep seni taman ini sudah lama diketengahkan di luar negara, tetapi baru mendapat sambutan di negara ini.

Berpengalaman hampir dua tahun dalam mengusahakan produk terrarium, Loo memperincikan setiap hasil seninya di atas meja.

Menurutnya, ilham seni terrarium tercetus daripada teman wanitanya yang begitu sukakan tumbuh-tumbuhan, tetapi kurang masa menjaganya.

"Kami bermula dengan pokok kaktus, tetapi tidak kurang menggemari bahan seramik yang berwarna-warni.

"Sebaliknya lebih gemarkan kaca dan masalahnya balang kaca tidak mempunyai lubang untuk mengeluarkan air," katanya.

Menerusi carian di Internet, Loo menemui pelbagai jawapan untuk permasalahan itu.

"Secara 'backpacking', saya mengunjungi ekspo tumbuhan di Chelsea, London, untuk mendapat ilham di sana.

"Melihat kepada teknik terrarium itu, mungkin ia bakal menyebabkan tumbuhan di sini mati," katanya.

Menerusi pengalaman yang ada, Loo mengubah cara penanaman pokok mengikut cuaca dan iklim negara ini.

Dia memperkenalkan konsep balang terbuka yang menggunakan empat kategori utama seperti terrarium tropicana, 'succulent' (kaktus), 'air plant' dan lumut.

"Terrarium di luar negara dalam keadaan tertutup sepenuhnya. Ini kerana ia mempunyai ekosistem tersendiri termasuk pernafasan (pengudaraan) di dalamnya.

"Sekurang-kurangnya sebulan sekali, pemilik terrarium perlu membuka botol kaca untuk membiarkannya bernafas sebelum disembur air saja," katanya.

Keadaan cuaca dan kelembapan berbeza menyebabkan teknik di Eropah diolah pada persekitaran tempatan.

Katanya, konsep 'ruang terbuka' bagi kategori kaktus yang tidak tahan panas perlu disiram dua minggu sekali.

Pokok 'air plant' atau pokok udara yang berasal dari Mexico, Selatan Colombia dan Afrika Selatan antara tanaman kurang penjagaan.

"Ia tidak perlu air yang banyak, tidak perlukan tanah dan boleh ditampal pada dinding menggunakan gam atau boleh hidup begitu saja.

"Dalam tempoh semiggu sekali, air perlu disemburkan pada kadar yang sedikit," katanya.

Keunikannya, ia tidak perlu tanah, daun akan bertukar warna sebaik matang dan bakal berbunga.

"Apabila bunga layu, pokok udara ini mengeluarkan anak," katanya. Pokok yang berasal dari luar negara ini banyak diimport.

Malah Loo turut berjaya menghasilkan pelbagai konsep seni taman mini seperti pantai dan tropicana, selain mewujudkan objek kecil dengan tema pilihan.

Harga produk dijual serendah RM39 bergantung kepada kerumitan, harga kaca dan saiz, tumbuhan dan jenis tumbuhan serta reka bentuk.

Bagi konsep tanah pula, syarikat itu menggunakan pelbagai formula dengan mengadunkan tujuh jenis bahan utama seperti arang, sabut kelapa, pasir, tanah bakar, tanah liat dan tanah hitam.

Mereka yang berminat untuk mengetahui mengenai hasil seni terrarium boleh mengunjungi laman facebook: terrariumsmalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 5:03 AM